Bos Supermax mohon maaf hanya gimik politik, kata Azmin

Bos Supermax mohon maaf hanya gimik politik, kata Azmin

Menteri besar Selangor itu turut mempersoalkan tindakan bos syarikat pengeluar sarung tangan getah itu membangkitkan isu itu menjelang PRU14.

Free Malaysia Today
Azmin Ali mempersoalkan motif pengarah urusan Supermax hanya kesal berkempen untuk pembangkang sekarang dan bukannya tahun lalu.
SHAH ALAM:
Datuk Seri Azmin Ali menyifatkan tindakan Pengarah Urusan Kumpulan Supermax Corp Bhd, Datuk Seri Stanley Thai memohon maaf kepada perdana menteri kerana berkempen untuk pembangkang pada pilihan raya umum lalu, sebagai gimik politik.

Menteri besar Selangor itu turut mempersoalkan tindakan bos syarikat pengeluar sarung tangan getah itu membangkitkan isu itu menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Kenapa kesal semalam, kenapa tidak tahun lepas? Ini semua gimik politik yang amat malang. Kalau orang korporat pun boleh ditekan dan diugut Barisan Nasional (BN),” katanya selepas menghadiri program ramah mesra dengan pentadbir sekolah pelbagai aliran di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Thai memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Razak kerana terpengaruh dengan propaganda pembangkang pada PRU13 dan beliau sebagai ahli perniagaan tidak patut terbabit dalam politik.

Beliau turut kesal dengan cara kerajaan Selangor menguruskan isu air sehingga menyebabkan Supermax, satu daripada pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia, kerugian jutaan dolar.

“Dua projek terbaru kami tertangguh selama dua setengah tahun sehingga 3 tahun disebabkan isu bekalan air di Selangor, di mana kebanyakan kilang kami terletak,” katanya sambil menambah 8 daripada 11 kilang Supermax terletak di Selangor.

Sementara itu, Azmin menepis dakwaan beliau mengikut amalan BN dalam memberi sumbangan menjelang PRU.

“Beza kita dengan Najib ialah kita buat secara terbuka dan telus. Semua kelulusan dibuat dalam sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) lepas, ini semua sudah dibajetkan. Ada peruntukan khas untuk masjid dan surau.

“Tetapi, Najib umumkan sumbangan kepada pemandu teksi, siapa yang luluskan? Parlimen tidak luluskan, Kabinet juga tidak luluskan. Kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia juga tidak dibawa ke Parlimen.

“Itu yang patut ditegur, macam bantuan sekolah Cina, kita buat setiap tahun. Malahan untuk 2018, kita sudah bentang dalam bajet, diputus dan diluluskan.”

Dalam pada itu, Azmin yang juga timbalan presiden PKR menyerahkan kepada parti mengenai pencalonannya pada PRU14, walaupun ada ura-ura mengatakan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Gombak.

“Saya serah pada parti. Saya dapat banyak tawaran, antaranya Pekan dan Bagan Datuk. Alhamdulillah tawaran masih tinggi.

“Saya di mana-mana pun boleh, dicampak ke laut jadi pulau, dicampak ke darat jadi gunung.”

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Bos Supermax mohon maaf kepada Najib sokong pembangkang pada PRU13

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.