DAP pertaruhkan setiausaha akhbar Guan Eng di Berapit

DAP pertaruhkan setiausaha akhbar Guan Eng di Berapit

DAP memilih Heng Lee Lee bertanding di kampung halamannya kerana wanita itu pernah menjadi wartawan di Bukit Mertajam selama 7 tahun dan peka terhadap isu rakyat di Berapit.

Free Malaysia Today
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim (tengah) akan mempertahankan kerusi Parlimennya, manakala Ketua Wanita DAP, Chong Eng (kiri) akan mempertahankan kerusi DUN Padang Lalang dan muka baharu, Heng Lee Lee bertanding di Berapit.
GEORGE TOWN:
DAP hari ini menamakan calonnya untuk 3 kerusi di Bukit Mertajam, dengan salah seorang daripadanya ialah Setiausaha Akhbar Ketua Menteri, Heng Lee Lee.

Graduan dalam jurusan komunikasi massa dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Berapit, menggantikan penyandang 2 penggal kerusi itu, Lydia Ong Kook Fooi.

Ong sebelum ini mengumumkan persaraannya daripada politik.

Ketua Wanita DAP, Chong Eng yang juga exco negeri sebelum ini akan mempertahankan kerusi DUN Padang Lalang, manakala Steven Sim Chee Keong akan mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Mertajam.

Kerusi DUN Machang Bubok dipegang Lee Khai Loon dari PKR, tetapi parti itu belum mengumumkan calonnya untuk Pulau Pinang.

Pada sidang akhbar hari ini, Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow berkata Heng dicalonkan kerana beliau tahu mengenai isu tempatan, berdasarkan pengalaman luas sebagai wartawan yang membuat liputan di daerah Bukit Mertajam selama 7 tahun.

Katanya, Heng peka dengan isu yang dihadapi rakyat di Berapit dan kefasihannya dalam beberapa bahasa menjadikan wanita itu calon tepat untuk mewakili kampung halamannya.

Heng juga adalah salah seorang setiausaha akhbar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng selama 7 tahun.

Dalam ucapannya, Heng berikrar akan berjuang untuk menjadikan Malaysia lebih baik dan bekerja keras sebagai adun jika terpilih.

Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini mengumumkan DAP akan bertanding di 19 kerusi DUN sama seperti pilihan raya umum ke-13.

Kerusi itu adalah Sungai Puyu, Bagan Jamal, Bagan Dalam, Berapit, Padang Lallang, Perai, Jawi, Tanjung Bungah, Air Putih, Pulau Tikus, Padang Kota, Komtar, Pengkalan Kota, Datuk Keramat, Sungai Pinang, Batu Lanchang, Seri Delima, Air Itam dan Paya Terubong.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.