Kami tak sokong mana-mana parti politik, kata panglima tentera

Kami tak sokong mana-mana parti politik, kata panglima tentera

Jeneral Raja Mohamed Affandi berkata setiap anggota tentera setia pada raja dan negara hingga akhir hayat.

Free Malaysia Today
Panglima ATM menjelaskan kenyataan awalnya yang menyeru askar berterima kasih dan setia kepada kerajaan.
KUALA LUMPUR:
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini memberi jaminan askar tidak akan mencampuri urusan politik serta hanya setia kepada raja dan negara.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata ATM tidak menyokong mana-mana parti politik dan askar bersedia berkhidmat kepada rakyat dan pemerintah.

“Ia berada dalam jiwa setiap anggota tentera, termasuk veteran, dari saat mereka dilahirkan hingga mereka meninggal dunia – kesetiaan mereka kepada raja dan negara tidak pernah pudar. Ini jelas ditunjukkan melalui pengorbanan mereka yang sanggup mati untuk negara,” katanya.

Post Borneo memetik beliau berkata demikian pada sidang media di Kuching semalam selepas majlis di Ibu Pejabat Divisyen Infantri Pertama di Kem Muara Tuang. Turut hadir Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Jaminan itu disambut baik DAP, namun Lim Kit Siang berkata ia “membimbangkan” apabila Raja Mohamed Affandi mengambil masa “seminggu untuk membuat penjelasan yang jelas dan mudah”.

Pada 31 Mac lalu dilaporkan Raja Mohamed Affandi dalam ucapannya mendesak tentera dan polis berterima kasih dan setia kepada kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak kerana perdana menteri memberi perhatian khusus kepada keperluan pasukan keselamatan.

Lim berkata: “Jika Malaysia mahu matang menjadi demokrasi yang normal, di mana pengundi boleh menukar kerajaan secara aman dan demokratik melalui pilihan raya, maka tentera haruslah dengan jelas menyatakan kesetiaan kepada raja dan negara, dan bukan kepada mana-mana parti politik atau mana-mana perdana menteri, terutama ketika negara berdepan PRU14.”

Lim juga berkata mereka yang mendakwa orang Melayu akan menderita jika Umno dikalahkan pada PRU14 juga terlibat dalam politik tidak bertanggungjawab dan menyebarkan ketakutan dan pembohongan.

Beliau menambah kerajaan Pakatan Harapan akan melakukan yang terbaik untuk membuktikan semua rakyat tanpa kira bangsa akan lebih terjaga bawah pentadbirannya.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.