
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau ada mendapat maklumat parti itu mahu membuat rayuan berhubung perkara berkenaan, namun pihaknya tidak menerima sebarang dokumen setakat ini.
“Saya sudah membaca dalam media mereka (PPBM) akan membuat rayuan. Sehingga kini saya belum menerima sebarang surat rayuan,” katanya selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.
Khamis lepas, JPPM mengeluarkan perintah penggantungan sementara berikutan kegagalan PPBM mengemukakan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusatnya serta penyata kewangan setelah diarah berbuat demikian pada 28 Februari lalu melalui satu notis mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.
Ketua Pengarah JPPM, Surayati Ibrahim berkata, setelah mengeluarkan perintah itu, PPBM mempunyai 30 hari untuk mengemukakan butiran dikehendaki dan parti itu akan dibubarkan sekiranya gagal berbuat demikian.
Dalam 30 hari itu, PPBM dilarang menggunakan nama dan simbolnya serta menjalankan aktiviti parti.
Pada 20 Mac 2017, PPBM menyertai gabungan pembangkang PH dianggotai DAP, PKR dan Amanah.
Mengulas penggunaan logo dan simbol PKR oleh parti komponen PH pada PRU14, Zahid berkata: “Kami mengalu-alukannya.”
Pengumuman itu dibuat Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad pada program Jelajah Harapan di Pasir Gudang, Johor, malam tadi.