Harap PAS bubar: Zahid posisikan Umno sebagai pesaing, kata penganalisis

Harap PAS bubar: Zahid posisikan Umno sebagai pesaing, kata penganalisis

Umno berpotensi tarik pengundi atas pagar jika bawa agenda Islam secara praktikal, kata penganalisis.

Umno pada 2019 telah meluluskan usul pindaan perlembagaan yang antara lain meletakkan agama di hadapan, disusuli bangsa dan negara.
PETALING JAYA:
Presiden Umno memposisikan partinya sebagai pesaing politik kepada PAS, susulan ucapan yang berharap parti itu akan terbubar lantaran Umno memasukkan Islam dalam perlembagaannya, menurut penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata langkah Zahid Hamidi menekankan perkara tersebut adalah usaha Umno untuk bersaing dengan PAS, dengan menarik sokongan pengundi atas pagar.

Menurutnya, pendekatan PAS sering dilihat ‘lebih konservatif’ dalam kalangan pengundi atas pagar.

“Umno berpotensi menarik pengundi atas pagar jika berjaya membawa agenda Islam secara praktikal,” katanya kepada FMT.

Mazlan mengulas kenyataan Zahid, yang berharap PAS akan terbubar selepas Umno memasukkan agama Islam dalam perlembagaannya pada 2019, pada penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia, semalam.

Zahid mendakwa, bekas mursyidul am PAS Nik Aziz Nik Mat pernah berkata PAS akan dibubarkan jika Umno meletakkan Islam dalam perlembagaannya. Perhimpunan agung Umno pada 2019 meluluskan usul pindaan perlembagaan yang antara lain meletakkan agama di hadapan, disusuli bangsa dan negara.

Ucapan itu muncul di kala Umno bersiap sedia untuk perhimpunan agung tahun ini, ketika ketua Pemudanya sendiri menyatakan hasrat agar Umno dan PAS dapat bersatu ‘demi penyatuan orang Melayu’.

Azeem Fazwan Ahmad Farouk dari Universiti Sains Malaysia bagaimanapun menerangkan bahawa Umno sememangnya menjadikan agama sebagai asas perjuangan parti itu sejak penubuhannya, namun dengan pendekatan berbeza.

“Perbezaan itu jelas dapat dilihat melalui pentadbiran negeri yang dikuasai PAS seperti Kelantan dan Kedah, berbanding negeri di bawah Umno. Kaedah perjuangan Umno dan PAS adalah berbeza,” katanya.

Realiti politik semasa bagaimanapun menunjukkan PAS berada pada kedudukan lebih kukuh, tambahnya.

“PAS menguasai empat negeri dan mempunyai lebih banyak kerusi Parlimen berbanding Umno,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.