Polis: Laporan patologi sahkan Rizalman negatif dadah

Polis: Laporan patologi sahkan Rizalman negatif dadah

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata tiada unsur 'perangkap' dan penganiayaan ke atas Rizalman Mokhtar yang ditahan positif dadah Isnin lalu.

Free Malaysia Today
Mazlan Lazim (tengah) berkata, tiada tindakan diambil ke atas Rizalman Mokhtar yang disahkan negatif dadah oleh Jabatan Patologi HKL. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Polis hari ini berkata, laporan Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan ujian air kencing Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar yang ditahan Isnin lalu, negatif dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim dalam satu kenyataan berkata, tiada tindakan lanjut akan diambil ke atas Rizalman, susulan keputusan negatif itu.

“Memandang kes ini kes menarik perhatian umum dan melibatkan orang kenamaan, pihak polis telah memohon HKL disegerakan ujian air kencing Rizalman. Pihak Patologi HKL telah mengeluarkan keputusan setelah ujian dibuat adalah negatif,” katanya.

Mazlan berkata, tiada unsur “perangkap” dan penganiayaan ke atas Rizalman yang ditahan positif dadah Isnin lalu.

“Pihak polis melaksanakan tugas secara adil dan saksama dan bukannya ada unsur ‘perangkap’ dan penganiayaan. Semua ini mengikut SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan.

“Untuk makluman, pihak polis melaksanakan tanggungjawab ini secara professional. Pihak pegawai penyiasat polis Dang Wangi telah menghantar sampel urin (saringan awal) yang diambil daripada Rizalman dengan baik dan selamat kepada pihak Patologi HKL.”

Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan ujian Jabatan Patologi HKL ke atas saringan air kencing awal 9 rakan Rizalman yang turut ditahan dalam serbuan Isnin lalu.

Rizalman ditangkap Isnin lalu dalam satu operasi polis bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kelab De Vegas, Jalan Imbi, kira-kira 2 pagi.

Pada 3 April lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan pemimpin Umno itu positif dadah jenis methamphetamine (syabu).

Keesokannya, Rizalman mendakwa dirinya diperangkap dan menafikan mengambil dadah termasuk semasa di kelab itu.

Katanya, beliau hanya “ambil kopi” bersama rakan lain dan tiada minuman keras disajikan.

Sementara itu, Rizalman bersyukur ujian air kencingnya tiada kesan dadah dan meminta semua pihak menghentikan sebarang bentuk serangan serta fitnah ke atasnya di media sosial.

“Saya berharap nama saya, keluarga dan institusi Umno/BN dapat dibersihkan melalui kenyataan rasmi ini.

“Tumpuan saya sekarang ialah untuk meneruskan ‘Politik Khidmat Bakti’ dan membantu Barisan Nasional di Bandar Tun Razak menghadapi PRU14 (pilihan raya umum ke-14).”

Beliau mengucapkan terima kasih kepada polis dan SPRM sepanjang tempoh siasatan itu, serta keluarga dan rakan yang memberi sokongan moral kepadanya.

SPRM sahkan ketua Umno bahagian ditahan positif syabu

Rizalman dakwa agenda politik selepas dicekup dadah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.