
Najib menerima tekanan untuk memastikan mandat kukuh ketika beliau berdepan skandal berbilion dolar yang dikaitkan dengan sebuah dana negara dan orang ramai yang marah dengan kenaikan kos sara hidup.
Untuk berbuat demikian, beliau perlu menangkis cabaran daripada mentor lamanya, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang bertanggungjawab ke atas unit perancangan ekonomi berkata, Najib mungkin membubarkan Parlimen Jumaat ini selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet.
“Saya rasa mungkin Jumaat ini…biasanya kita akan melancarkan manifesto selepas pembubaran Parlimen, jadi manifesto itu akan dilancarkan Sabtu ini,” katanya kepada Reuters hari ini.
Pembubaran Parlimen itu bakal memberi laluan kepada PRU14. Tarikh mengundi akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas pembubaran Parlimen.
Akhbar New Straits Times memetik sumber sebagai berkata, persediaan sedang dilakukan untuk Najib mengumumkan PRU14 selepas solat Jumaat ini.
Najib hanya menang tipis pada pilihan raya umum 2013 selepas kalah dalam undian popular kepada gabungan pembangkang yang kini diketuai Dr Mahathir berusia 92 tahun.
Dr Mahathir menjadi pengkritik Najib paling hebat berhubung cara beliau menangani skandal 1MDB.
Najib bagaimanapun menafikan sebarang salah laku.
PRU14 harus diadakan sebelum Ogos ini.
Pembangkang mendakwa 2 langkah terbaru yang disokong kerajaan, akan meningkatkan peluang Najib pada PRU14.
Minggu lepas, Parlimen meluluskan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya untuk lebih 1/3 kerusi, perubahan yang pengkritik dakwa akan membantu Najib.
Semalam, Parlimen meluluskan Rang Undang-undang Anti-berita Tidak Benar 2018 bagi mengekang berita palsu dan menetapkan hukuman penjara sehingga 6 tahun dan denda maksimum RM500,000 bagi pesalah.