Datin dera amah hadir serba hitam di mahkamah

Datin dera amah hadir serba hitam di mahkamah

Rozita Mohd Ali sebelum ini gagal hadir untuk pendengaran semakan hukumannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam minggu lepas.

Free Malaysia Today
Datin Rozita Mohd Ali di Mahkamah Tinggi Shah Alam bersama peguamnya.
SHAH ALAM:
Seorang wanita bergelar “Datin” yang mencetuskan kemarahan awam selepas dilepaskan dengan bon berkelakuan baik kerana mendera amahnya, hari ini hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk semakan hukumannya, selepas “hilang” pada sesi mahkamah lepas.

Datin Rozita Mohd Ali berpakaian serba hitam serta berkaca mata hitam, tiba di mahkamah sambil menutup wajahnya, ditemani peguam-peguamnya.

Minggu lepas Rozita gagal hadir bagi mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen untuk mengikat jamin beliau berkelakuan baik.

Polis berkata mereka berjaya mengesannya selepas menerima notis daripada mahkamah.

Mahkamah sebelum ini membenarkan Rozita, 44, diikat selama 5 tahun dengan bon sebanyak RM20,000 oleh Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Mohammed Mokhzani Mokhtar, selepas menukar pengakuan kepada bersalah kerana menyebabkan kecederaan teruk kepada pembantu rumah warga Indonesia, Suyanti Sutrinso.

Klip video Suyanti yang cedera parah dan terbaring berhampiran longkang di kawasan perumahan Mutiara Damansara di Petaling Jaya tersebar pada Disember 2016.

Menurut laporan, Rozita didakwa menggunakan pisau dapur, penyangkut baju, mop besi dan payung untuk mencederakan kepala, tangan, kaki dan organ dalaman Suyanti.

Satu petisyen atas talian menolak keputusan mahkamah itu mendapat lebih 70,000 tandatangan setakat ini.

Datin dera amah hilangkan diri

Petisyen tuntut keadilan kes dera amah melibatkan Datin

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.