Azmin: 1MDB tak layak dibanding dengan krisis air Selangor

Azmin: 1MDB tak layak dibanding dengan krisis air Selangor

Menteri besar Selangor itu berkata, isu 1MDB membabitkan hutang negara yang perlu ditanggung anak, cucu-cicit dan generasi akan datang.

Free Malaysia Today
Gambar Twitter
SHAH ALAM:
Datuk Seri Azmin Ali berkata, isu 1MDB tidak layak dibandingkan dengan masalah air di Selangor kerana ia membabitkan hutang negara yang akan memberi kesan kepada rakyat.

Beliau merujuk kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat baru-baru ini yang krisis air di Selangor lebih teruk daripada isu 1MDB.

“Keprihatinan atas perkara ini (hutang 1MDB) juga menjadi keprihatinan majoriti rakyat Malaysia, di mana kita tidak boleh remehkan hutang negara yang semakin ‘membengkak’ sebab yang akan bayar hutang negara ini ialah anak, cucu-cicit dan generasi akan datang.

“Maka untuk bandingkan (isu 1MDB) dengan industri perkhidmatan air di Selangor, saya kira ia satu perbandingan yang tidak adil dan tidak wajar dizahirkan seorang pemimpin tertinggi negara, apatah lagi dibuat di dalam Dewan Rakyat,” katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Menteri besar Selangor itu menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Kajang) yang meminta kerajaan negeri mengulas kenyataan perdana menteri di Parlimen mengenai isu air Selangor lebih kritikal daripada 1MDB.

Sidang Dewan Rakyat pada 12 Mac lalu kecoh, apabila Najib menyifatkan masalah air di Selangor dan Kuala Lumpur lebih teruk daripada isu 1MDB.

“YB Gombak, kemelut air di Selangor lebih kritikal,” kata perdana menteri.

Najib (BN-Pekan) menjawab soalan Azmin (PKR-Gombak) sama ada peningkatan jumlah pembayaran faedah hutang negara mempunyai kaitan dengan isu 1MDB atau ada sebab lain.

Sementara itu, Azmin membidas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Zaini Ujang yang menyalahkan kerajaan Selangor atas krisis air sebelum ini.

“Bagi saya, beliau bukan saja KSU kementerian, lebih penting beliau ialah ‘regulator’ industri air.
“Maka, untuk seorang ‘regulator’ keluarkan kenyataan tak berasas dan tidak berfakta, apatah lagi berbaur politik ini, membimbangkan kita sebab industri perkhidmatan air bukan saja Selangor, negara kita akan terjejas bila ‘regulator’ ini seorang yang tak profesional untuk selesaikan masalah rakyat.”

Azmin dakwa Najib gagal selesai isu banjir di Pekan

Najib sekali lagi serang pembangkang gagal selesai isu air di Selangor

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.