Anih Bhd belanja RM3.2 juta, selesaikan isu air di R&R Gambang

Anih Bhd belanja RM3.2 juta, selesaikan isu air di R&R Gambang

Projek itu melibatkan binaan tangki bekalan air kapasiti 42,000 gelen, dijangka siap 3 bulan lebih awal berbanding jangkaan pada Ogos sebelum ini.

Free Malaysia Today
Gambar Twitter
KUANTAN:
Rungutan pengguna tentang masalah bekalan air di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang terutama setiap kali musim cuti sekolah serta perayaan akan dapat diatasi sepenuhnya apabila Projek Bekalan Air ke R&R Gambang siap sepenuhnya menjelang Mei ini.

Projek yang menelan belanja RM3.2 juta itu melibatkan pembinaan tangki bekalan air berkapasiti 42,000 gelen itu dijangka siap 3 bulan lebih awal berbanding jangkaan pada Ogos sebelum ini.

Pengarah Eksekutif Anih Berhad Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata projek itu merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan oleh pengendali Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) itu dalam memastikan keselesaan kepada pengguna lebuh raya berkenaan.

“Projek bermula Oktober lepas, melibatkan pembinaan paip sepanjang 11.5km, bermula kawasan projek bekalan air Gambang 3 yang dimiliki Pengurusan Air Pahang (PAIP) dan seterusnya ke Hentian R&R Gambang.

“Tangki yang dibina untuk menyimpan bekalan air terawat ini akan menyedut air dari Gambang 3 yang terletak kira-kira 350m itu dan mampu menyalurkan air dengan kapasiti 80,000 gelen sehari ke R&R Gambang bagi keperluan kedua-dua hala,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Nik Fauzi berkata sebelum ini, pihaknya terpaksa mengambil inisiatif menyediakan sebuah lori tangki untuk setiap hentian pada hari biasa dan 2 lori tangki untuk setiap hentian pada musim perayaan atau cuti sekolah.

Setiap lori tangki berkapasiti 7,000 gelen air itu akan membuat 3 kali perjalanan ke hentian setiap hari bagi membekal air bersih daripada punca air iaitu di Plaza Tol Gambang.

Beliau berkata pada waktu puncak biasa, jumlah pengguna di setiap hentian 2 hala itu mampu meningkat sekali ganda berbanding 4,000 orang sehari.

“Jumlah itu meningkat pada musim perayaan iaitu seramai kira-kira 14,000 pengguna dan keperluan air di kedua-dua belah hentian rehat itu turut meningkat kepada sekali ganda daripada 40,000 gelen pada hari biasa.

“Kita berpuas hati kerana projek yang mendapat kerjasama baik daripada Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) ini berjaya menyelesaikan isu masalah kekurangan bekalan air yang ditampung lori tangki di kawasan R&R berkenaan tahun lalu.

“Selepas projek ini siap nanti, masalah bekalan air di R&R Gambang tidak akan berulang dan pengguna dapat menggunakan kemudahan yang disediakan dengan lancar,” katanya.

Mengikut rekod hingga kini pihak Anih Berhad membelanjakan sebanyak RM4.5 juta bagi menyediakan bekalan air ke R&R Gambang sejak 2005 termasuk bagi pembinaan loji rawatan air untuk menyedut serta merawat air dari tasik berhampiran.

Sementara itu, seorang pengguna, Masnor Mastor, 39, berkata inisiatif oleh Anih Berhad dengan melaksanakan projek itu akan memberi keselesaan kepada pengguna, mengelakkan kesesakan di R&R Temerloh.

“Saya sendiri kerap berulang-alik dari Pekan ke Kuala Lumpur atas urusan kerja dan kerap kali singgah di R&R ini untuk ke tandas, bersolat serta makan. Apabila timbul masalah air terutama waktu puncak, memang menyulitkan urusan saya dan pengguna lain.

“Keadaan itu menyebabkan lebih ramai pengguna LPT 1 lebih suka singgah di R&R Temerloh, tetapi apabila terlalu ramai singgah di hentian itu ia menimbulkan masalah kesesakan dan kurang selesa pula.

“Jadi kita berterima kasih atas langkah proaktif Anih Berhad ini yang secara langsung dapat menarik pengguna untuk turut singgah di hentian ini, selain R&R Temerloh,” katanya.

Tindakan proaktif itu turut mendapat pujian daripada pihak peniaga R&R Gambang sendiri kerana tidak lagi perlu pening kepala memikirkan masalah air apabila musim cuti.

Seorang peniaga, Halimah Ahmad, 48, berkata sebelum ini beliau bersama rakannya terpaksa mengangkut air untuk urusan memasak dan menyediakan air minuman buat pelanggan.

“Sebelum ini musim cuti sahaja kita peniaga memang merasa risau sedikit apabila gangguan bekalan air sering berlaku kerana menyukarkan proses penyediaan makanan dan sebagainya, namun selepas siapnya projek ini nanti tidak perlulah kami gusar lagi termasuk soal nak mengangkut air,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.