Jangan nafi masalah dihadapi kanak-kanak miskin di bandar, kata pakar

Jangan nafi masalah dihadapi kanak-kanak miskin di bandar, kata pakar

Pemimpin atasan kerajaan perlu mengakui masalah yang didedahkan laporan Unicef baru-baru ini.

KUALA LUMPUR:
Kerajaan perlu akui masalah kanak-kanak Malaysia terbantut merupakan masalah sebenar dan bukan mengabaikannya, kata seorang ahli ekonomi yang juga perunding kepada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) yang baru-baru ini menerbitkan laporan mengenai kesan kemiskinan ke atas kanak-kanak di bandar.

Muhammed Abdul Khalid berkata perkara utama ialah pengakuan masalah itu memang wujud.

“Sekiranya kita tidak mengakuinya, ianya tidak akan dapat diselesaikan. Tetapi ramai yang tidak menyedari laporan ini,” katanya merujuk laporan kaji selidik Unicef bertajuk “Kanak-kanak pinggiran: Satu kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di flat kos rendah di Kuala Lumpur”.

Kaji selidik Unicef itu mendapati kanak-kanak yang tinggal di rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur mengalami pembesaran terbantut di samping kurang berat badan.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mempersoalkan laporan Unicef itu, dengan berkata kementeriannya tidak pernah menerima sebarang laporan daripada guru mengenai murid terbantut dan tidak mampu membeli makanan.

Muhammed berkata adalah mengecewakan apabila ada pemimpin atasan boleh menafikan masalah itu, sedangkan pegawai kerajaan memberi reaksi positif dengan memberi kerjasama mengatasi masalah didedahkan laporan itu.

Menurutnya, program Transformasi Nasional (TN50) juga tidak menumpukan isu kemiskinan dalam kalangan kanak-kanak bandar.

“Pada kanvas TN50 langsung tidak dikatakan. Tidak ada menyebutnya dalam Laporan Tranformasi Negara,” katanya.

Sebaliknya, Muhammed mempersoalkan Laporan Tahunan Program Transformasi Nasional (NTP) yang menunjukkan kadar kemiskinan negara menurun kepada 0.4% pada 2016 berbanding 3.8% pada 2009.

“Tak begitu tepat. Kadar kemiskinan haruslah diukur dari perbagai dimensi. Ya memang betul kadar kemiskinan mutlak makin menurun tetapi ada golongan tertentu yang masih dalam kemiskinan.

“Ramai juga yang terdedah kepada kemiskinan kerana mereka mempunyai simpanan yang amat kecil,” katanya di forum anjuran kumpulan pendidik Buku Jalanan Chow Kit, malam tadi.

Muhammed turut berkata program tunai seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak boleh menyelesaikan masalah ekonomi.

Menteri pertikai kajian Unicef, tiada pelajar tak makan di sekolah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.