
Duta Besar AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir akan mengadakan majlis resepsi sebagai penghormatan kepada pencalonan Indira, Rabu ini.
Penganjuran majlis itu juga sempena Hari Wanita Sedunia 2018 dan Bulan Sejarah Wanita yang diraikan di AS pada Mac.
Pada 29 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan mengetepikan penukaran agama sebelah pihak 3 anak Indira kepada Islam, selepas memutuskan sebarang penukaran agama kanak-kanak bukan Islam harus mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.
Dalam apa yang disifatkan sebagai keputusan penting, mahkamah juga memerintahkan hanya mahkamah sivil akan membuat keputusan untuk kes seperti itu.
Mahkamah turut memutuskan perkataan “parent” dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan perlu dibaca sebagai kedua-dua ibu dan bapa.
Perkara 12(4) menyatakan seorang penjaga atau “parent” boleh menentukan agama kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun.
Keputusan itu mengakhiri pertarungan selama 9 tahun mengenai hak penjagaan antara agama, susulan tindakan bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah yang memeluk Islam sebelum menukar agama 3 anaknya tanpa pengetahuan ibu mereka pada 2009.
Riduan yang dahulunya dikenali sebagai K Pathmanathan, memeluk Islam pada 11 Mac 2009 dan meninggalkan rumah 3 minggu kemudian bersama anak bongsu mereka, Prasana Diksa.
Pada 2 April 2009, Riduan menukar agama ketiga-tiga anaknya kepada Islam tanpa persetujuan dan pengetahuan Indira. Dia ke Mahkamah Syariah beberapa hari kemudian untuk memperoleh hak penjagaan ke atas 3 anaknya.
Kini, anak sulung Indira, Tevi Darsiny berusia 21 tahun dan anak lelakinya, Karan Dinish yang berusia 20 tahun, cukup dewasa untuk menentukan agama sendiri.
Bagaimanapun, Prasana yang kini berusia 10 tahun, masih hilang.
Setiap tahun, Anugerah Wanita Berani Antarabangsa diberikan kepada wanita di seluruh dunia yang menunjukkan kepimpinan, keberanian, kepintaran dan kesediaan berkorban untuk orang lain, terutamanya dalam mempromosikan hak wanita.
Ia diwujudkan pada 2007 oleh Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice. Setiap kedutaan AS boleh mencalonkan seorang wanita.
Aktivis hak transgender Malaysia, Nisha Ayub adalah penerima anugerah itu pada 2016.