Adun BN, DAP bertikam lidah di DUN Selangor

Adun BN, DAP bertikam lidah di DUN Selangor

Adun Permatang, Sulaiman Razak mendakwa Ng Suee Lim daripada DAP terlibat dalam satu kemalangan jalan raya ketika beliau memandu dalam keadaan mabuk.

SHAH ALAM:
Seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) hari ini membuat serangan peribadi terhadap Adun Sekinchan daripada DAP, Ng Suee Lim yang didakwa terlibat dalam satu kemalangan jalan raya kerana beliau mabuk.

Adun Permatang, Datuk Sulaiman Razak menyerang Ng ketika membahaskan ucapan Sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang menyaksikan pertikaman lidah berlaku antara kedua-dua wakil rakyat itu.

Sulaiman sebelum itu memaklumkan DUN mengenai pertambahan rumah urut di Selangor, sebelum Ng tiba-tiba mencelah dengan berkata, dakwaan itu satu pembohongan.

“Ia satu pembohongan. Penipu!” kata Ng.

Sulaiman kemudiannya mendakwa Ng terbabit dalam satu kemalangan jalan raya ketika beliau memandu dalam keadaan mabuk.

“Duduk, duduk. Dah mabuk? Sekinchan ada kes tau. Mabuk langgar orang. Ada laporan polis dibuat kepada Sekinchan (Ng).

“Yang terlibat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM). Saya akan beri nanti. Sabar,” kata Sulaiman.

Ng yang tidak berpuas hati meminta Sulaiman menarik balik kenyataan yang disifatkannya serangan peribadi dan tuduhan jahat.

Sulaiman bagaimanapun enggan berbuat demikian dan berkata beliau mempunyai laporan polis untuk membuktikan kenyataannya itu.

Timbalan Speaker DUN Selangor, Mohd Shafie Ngah berkata, beliau akan mengambil tindakan terhadap Sulaiman selepas berunding dengan Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh.

Sementara itu, Sulaiman pada sidang media di luar DUN Selangor berjanji akan menunjukkan laporan polis itu esok.

“Saya boleh bawa laporan polis. Kita akan bawa dalam DUN,” katanya.

Ng ketika ditemui di lobi Bangunan Annex mengakui pernah terbabit dalam satu kemalangan jalan raya, tetapi bukan disebabkan beliau mabuk.

Difahamkan, kemalangan itu berlaku sebelum 2013.

“Kemalangan ada. Mabuk itu tuduhan liar. Ia tuduhan media Umno. Kemalangan biasalah, bawa kereta.

“Ini tuduhan yang saya tunggu. Bagaimana dia nak buktikan kes itu berlaku, sedangkan dia (Sulaiman) tidak ada di tempat kejadian. Dia hanya buat tuduhan. Ia tuduhan berat kepada saya.”

Beliau berkata, dakwaan itu dikitar semula Umno yang ketandusan isu.

“Sebelah petang mereka lesu dan ponteng. Lepas saya gaduh dengan Permatang (Sulaiman), dia terus keluar buat sidang media dan balik. Ini sikap pembangkang, wakil rakyat yang wakili kawasan mereka.

“Ini sangat memalukan. Sepatutnya kena perjuangkan guna saluran dewan (DUN) sebagai penggubal tertinggi undang-undang untuk medan berbahas isu rakyat,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.