
Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Jamali Ayu berkata kejadian itu berlaku semalam apabila kumpulan 5 orang itu mendakwa diri mereka penyokong pembalak dan melemparkan pelbagai kata-kata kesat selepas tidak dibenarkan masuk.
“Mereka cakap nak jumpa ‘Cikgu Azhar’ dan wakil penduduk Orang Asli di kampung. Kemudian kita tanya apa tujuan nak masuk tapi mereka tidak beritahu.
“Selepas kita periksa, kita tengok ada 2 mesin potong kayu. Bila kami tekan mereka, mereka keluarkan surat kata nak roboh sekatan dan kami halang mereka masuk.”
“Mereka maki kami kata ‘Orang Asli jahanam’, ‘Celaka Orang Asli’. Mereka kata ‘tak faham-faham kamu Orang Asli'”, kata Jamali.
Jamali berkata meskipun Orang Asli semalam berjaya menghalang cubaan merobohkan sekatan di Kampung Kuala Wok dan Pos Pasik, kumpulan terbabit mengancam pembalasan di kemudian hari.
“Sebelum mereka balik dan mereka cakap tengoklah dalam 2-3 hari ini baru kamu tahu apa kami nak buat,” katanya.
“Kami rasa mereka itu bukan dari jabatan hutan atau wakil kerajaan negeri. Kami syak mereka itu wakil pro pembalak, sebab mereka cakap sebelum ini mereka pernah roboh blockade,” katanya.
Kumpulan Orang Asli Kelantan melakukan sekatan di beberapa laluan ke kawasan pembalakan di Gua Musang sejak 13 Februari lalu.
Jamali berkata sejak kejadian semalam, pihaknya mengerahkan penduduk kampung untuk mempertahankan sekatan daripada penyokong-penyokong pembalak.
“Kita akan berkumpul dan lebih kurang 300 akan mempertahakan blockade kami dan kami akan tambah orang. Kita akan sedia kerana mereka kata nak datang 2,3 hari lagi,” katanya.