Ketua IRF bidas bahasa Inggeris lemah pensyarah kanan

Ketua IRF bidas bahasa Inggeris lemah pensyarah kanan

Nama pengarang pun disalah eja dalam kertas penyelidikan 3 pensyarah kanan sebuah universiti di Perak yang mengkritik pandangan Ahmad Farouk Musa dan IRF.

PETALING JAYA:
Satu kertas penyelidikan 3 pensyarah kanan sebuah universiti tempatan yang mengkritik Datuk Dr Ahmad Farouk Musa dan Islamic Renaissance Front (IRF) pimpinannya mungkin sekali lagi mencetuskan debat mengenai mutu bahasa Inggeris di institusi pengajian tinggi dalam negara ini.

Esei 19 halaman oleh 3 pensyarah Jabatan Sains Kemanusiaan sebuah universiti di Perak itu bukan sahaja mengandungi banyak kesalahan tatabahasa dan ejaan, nama salah seorang penulisnya, Muhammad Atiullah Othman juga disalah eja sebagai Muhammad Atiullah Ohtman.

Atiullah, seorang ahli PAS, sebelum ini mempertahankan pemimpin konservatif parti Islam itu. Dua lagi penulis kertas bertajuk “Political Islam in Islamism and Post-Islamism: A Study on Islamic Renaissance Front (IRF)” adalah Zuraini Jamil dan Siti Noranizahafizah Boyman.

Antara lain, kertas itu mendakwa IRF dengan hujah liberalnya menyeru perubahan daripada “Islamism” kepada “post-Islamism” dengan nilai “liberal” dan “sekular”, perkataan yang kerap diulangi birokrat Islam di Malaysia terhadap pengkritik mereka.

Dr Farouk yang juga pensyarah perubatan di Universiti Monash Malaysia berkata, beliau mengalu-alukan kritikan terhadap pandangannya, tetapi mempersoalkan kualiti akademik kertas itu, selain kredibiliti jurnal atas talian yang menyiarkannya.

“Saya tiada isu dengan orang mengkritik fikiran saya, tetapi ia harus dilakukan dengan cara hormat. Isu sekarang ialah kertas tersebut penuh dengan kesalahan tatabahasa, sintaksis atau hubungan lemah antara perkataan dan frasa digunakan,” katanya kepada FMT.

Dr Farouk yang kerap mengkritik birokrat Islam dan pihak berkuasa agama berkata, beliau akan membuat aduan rasmi kepada pengurusan universiti terbabit.

Beliau turut mempersoalkan kenapa penulis esei itu tidak menghubungi beliau untuk mendapatkan pandangannya.

“Kenapa mereka tidak temubual saya? Saya masih hidup! Dan mereka mendapat geran penyelidikan,” katanya.

“IRF was intentionally to mislead secularism and liberalism in post-Islamism by making a paradigm shift to develop understanding secularism and liberalism. Therefore, IRF activities in promoting liberalism, secularism and West values are well known by religious authorities such as JAKIM,” demikian petikan asal kertas penyelidikan itu.

‘Jurnal palsu’

Dr Farouk turut mempersoalkan jurnal yang menerbitkan kertas berkenaan, International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, dan memberi amaran ia mungkin satu daripada ratusan jurnal akademik palsu.

Jurnal itu diterbitkan Resource Management Academic Research Society (HRMars), yang menurut laman webnya, ia mahu mempromosi ahli akademik dan “sumbangan bernilai mereka dengan menyediakan platform elektronik untuk mereka menerbitkan kajian serta sumbangan kepada lebih ramai pembaca”.

Bagaimanapun, satu senarai “penerbit akademik diragui” yang disusun pustakawan berpangkalan di Amerika Syarikat, Jeffrey Beall, termasuk HRMars.

“Elak serah manuskrip anda kepada penerbit ini,” menurut amaran di permulaan senarai itu.

Dr Farouk turut merujuk beberapa kesalahan fakta dalam esei itu yang mengkritiknya, termasuk nama bekas pelatih IRF, Ahmad Muziru Idham, yang dieja sebagai “Ahmad Muziru Murugan”.

“Bagi saya, ia memalukan universiti untuk memiliki ahli akademik sebegini yang mendapat geran penyelidikan, tetapi menghasilkan kertas kajian bermutu rendah sedemikian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.