
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin memutuskan ada isu yang akan dibicarakan dalam kes saman itu berhubung locus standi sama ada plaintif (Najib) memfailkan saman atas kapasiti peribadi atau pegawai awam.
“Hakim yang mengikuti kes Datuk Seri Adnan Yaakob lawan Utusan Malaysia di Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Adnan dan memerintahkan kes saman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan. Hari ini, hakim berkata isu locus standi dalam kes ini akan dibicarakan,” kata Hafarizam.
Hakim yang membuat keputusan dalam kamar juga mengarahkan Ling membayar kos RM5,000 kepada Najib.
Hafarizam berkata, satu lagi isu yang akan dibicarakan ialah sama ada saman itu menyalahgunakan proses mahkamah.
Beliau berkata, tiada tarikh ditetapkan untuk mendengar perkara itu kerana kes tersebut akan didengar hakim baharu, Datuk Nordin Hassan memandangkan Hakim Nor Bee sekarang ialah Hakim Mahkamah Keluarga.
Peguam Yeoh Cho Kheong yang mewakili Ling berkata, plaintif sepatutnya diberi peluang untuk didengar di mahkamah bagi menentukan sama ada saman beliau (Najib) atas kapasiti peribadinya atau sebagai pegawai awam.
Ling mengemukakan permohonan pada 15 Februari 2016 untuk membatalkan saman Najib atas alasan ia penyalahgunaan proses mahkamah dan tidak menyatakan alasan munasabah.
Pada 27 Oktober 2015, Najib atas kapasiti peribadi memfailkan saman terhadap Ling kerana mendakwa bekas menteri pengangkutan itu membuat kenyataan berbaur fitnah terhadapnya dalam satu artikel disiarkan dalam portal berita pada 3 Oktober 2015.
Dalam kenyataan tuntutannya, Najib berkata, Ling secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan fitnah itu pada satu majlis di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, di sini, dengan mendakwa kenyataan Ling membawa maksud beliau (Najib) menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.
Pada 18 Julai 2016, mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk mengetepikan afidavit bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang difailkan bagi menyokong permohonan Ling untuk membatalkan saman tersebut.