
Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar kecewa Datuk Seri Mahdzir Khalid mempertikaikan dapatan agensi dunia itu dan berkata kesihatan hampir 460,000 pelajar sekolah rendah menjadi taruhan.
“Sudahlah kelaparan dan kekurangan gizi makanan, diabaikan lagi oleh pihak kerajaan yang sepatutnya memenuhi amanah rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurul Izzah juga mahu menyorot perhatian menteri kepada laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang mendapati 17.7% kanak-kanak dan remaja di Malaysia berusia 5 hingga 19 tahun mengalami pertumbuhan terbantut.
“Sewajibnya menteri tampil mendapatkan kemaskini nama dan senarai mereka yang memerlukan bantuan RMT. Bukan hanya menyahkan dakwaan tersebut dan tampil angkuh bahawa beliau tidak tahu ada budak tak cukup makan,” katanya.
“Lebih cantik jika menteri secara aktif menyalurkan bantuan RMT untuk 2.6 juta pelajar. Proses penyelarasan antara data yang dikutip oleh Unicef perlu disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sekolah bagi tujuan saluran bantuan.”
Izzah menggesa kementerian menjelaskan kaedah pengumpulan senarai nama penerima RMT serta cara pengagihan bantuan, untuk melihat sama ada proses permohonan turut mengambil kira latar belakang demografi dan kadar kemiskinan setempat.
“Perlu wujud sinergi inisiatif antara ahli akademi dan pelaksana program RMT di sekolah-sekolah. Pakar nutrisi harus diberikan akses dalam membuat kajian terperinci agar anak-anak boleh mendapatkan makanan berzat dan berkhasiat sesuai dengan peringkat umur mereka.”
Izzah berkata kementerian wajib melaksanakan cadangan Unicef, terutama elaun jagaan sejagat kanak-kanak dan “mengambil langkah segera mengurangkan harga barang makanan berkhasiat untuk kanak-kanak seperti susu, buah-buahan dan sayur-sayuran”.
Mahdzir hari ini mempertikaikan kaji selidik Unicef yang mengaitkan masalah kekurangan zat makanan dan pembesaran terbantut kanak-kanak di Kuala Lumpur dengan Ghana.
“Kita juga ada kajian dan tak ada setakat ini di sekolah yang menunjukkan budak-budak sampai tak mampu (nak makan) dan tak ada kes lagi dalam laporan daripada guru menunjukkan budak tak makan kat sekolah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri pertikai kajian Unicef, tiada pelajar tak makan di sekolah