
Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri bagaimanapun mengingatkan maklumat ini tidak membersihkan atau menyalahkan mana-mana orang sehinggalah siasatan Felda dan pihak berkuasa selesai dijalankan.
“Kita zaman sekarang tak boleh sembunyi-sembunyi pun, banyak benda akan terdedah. Sekarang saya jawab di Parlimen. PA tersebut ditandatangani oleh pengerusi Felda dan pengurus besar ketika itu.
“Ini bukan bertujuan tentukan siapa betul, siapa salah kerana siasatan masih berlangsung,” katanya menjawab pertanyaan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) di Dewan Rakyat hari ini.
Fauzi bertanyakan tentang individu dalam agensi kerajaaan itu yang menandatangani PA dalam kejadian itu.
Razali menambah penemuan itu berdasarkan kepada audit forensik ke atas 240 dokumen termasuk minit mesyuarat lembaga Felda.
“Saya tak boleh dedahkan 240 dokumen yang disiasat oleh forensik dan syor-syor yang dinyatakan kerana laporan audit itu juga diminta polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai salah satu dokumen siasatan yang sedang berlangsung,” katanya.
Pada 21 Disember lalu Berita Harian mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dianggarkan bernilai RM270 juta, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.
Tanah itu sedang dimajukan untuk membina Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), sebuah projek bernilai tinggi membabitkan 7 menara.
Menurut akhbar itu, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan Felda memberikan PA kepada syarikat itu bagi membangunkan tanah itu.
Tanah itu kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015, dan satu lot daripada tanah terlibat didapati ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama pada 21 Julai 2016.
Menurut laporan itu, semua keputusan pelantikan syarikat itu, dipercayai oleh FIC, hanya dimaklumkan kepada lembaga pengarah Felda 3 bulan untuk diluluskan secara retrospektif.
Pada 9 Mac lepas, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata Felda berjaya mengambil semula 16 lot tanah terlibat selepas menandatangani memorandum persefahaman dengan pemaju KLVC.