PH kena tunjuk sumber kewangan laksana janji PRU14, kata Shahidan

PH kena tunjuk sumber kewangan laksana janji PRU14, kata Shahidan

Pengerusi BN Perlis berkata, PH mudah menabur janji manis untuk meraih undi rakyat tanpa mengemukakan fakta jelas.

syahidan
Gambar Facebook
ARAU:
Pakatan Harapan (PH) perlu mengemukakan fakta mengenai sumber kewangan untuk merealisasikan setiap janji dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang dilancarkan pakatan pembangkang itu, Khamis lepas.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, PH mudah menabur janji manis untuk meraih undi rakyat tanpa mengemukakan fakta jelas bagi menyokong tindakan mereka.

“Setakat sembang sesiapa sahaja pun boleh, janji macam-macam, nak cari duit dari mana?…Sebut apa pun kena ada fakta, kalau tidak bohonglah,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan 400 jentera Jalinan Rakyat (JR) Parlimen Arau di sini, hari ini.

Katanya, pakatan pembangkang juga dilihat masih gagal melaksanakan pelbagai janji di negeri ditadbir mereka, malah tidak mampu menyelesaikan pelbagai masalah rakyat misalnya ketiadaan air dan banjir.

Antara intipati manifesto PH sempena PRU14 ialah menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi individu berpendapatan bawah RM4,000.

Sementara itu, Shahidan berkata, jentera JR bahagiannya berjaya menemui 100% pengundi di Parlimen itu dan yakin kemenangan akan terus menjadi milik BN pada PRU14.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.