Najib sekali lagi serang pembangkang gagal selesai isu air di Selangor

Najib sekali lagi serang pembangkang gagal selesai isu air di Selangor

Perdana menteri berkata, menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air kepada rakyat tidak sukar kerana kerajaan BN sudah melaksanakan projek berteknologi tinggi.

najib-afp
Gambar AFP
SERDANG:
Perdana menteri sekali lagi mengkritik kerajaan Selangor di bawah pimpinan Datuk Seri Azmin Ali berhubung isu gangguan bekalan air di negeri itu sejak Selasa lalu.

Datuk Seri Najib Razak berkata, menyediakan kemudahan asas seperti air kepada rakyat khususnya di Selangor tidak sukar, memandangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah melaksanakan projek berteknologi tinggi.

“Lihat sahajalah kalau sebut Selangor, sehari dua ini apa masalah di Selangor? Masalah air, ia bukan satu kemudahan yang sukar.

“Kalau kita boleh laksanakan projek Transit Aliran Massa (MRT), sebuah kereta api tanpa pemandu dengan teknologi terbaru, takkanlah masalah air tidak boleh diselesaikan,” katanya berucap di sambutan Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), hari ini.

Rabu lalu, Najib dilaporkan berkata, masalah bekalan air dan kos harga rumah tinggi antara 5 kelemahan besar gagal ditangani kerajaan pembangkang di Selangor.

“…air gagal diurus kerajaan negeri, tengok saja pembangkang di Kelantan, kita (kerajaan pusat dan kerajaan negeri) boleh uruskan air, tetapi di sini (Selangor) mereka utamakan politik, bukan hal rakyat.

“Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd) memaklumkan 6 daerah kritikal, cemas, ibarat telur di hujung tanduk, sebab bekalan air lemah, kualiti semakin teruk, tekanan rendah, bil kelam-kabut dan khidmat servis tidak baik…inilah kisah pentadbiran air di Selangor,” katanya.

Hari ini, Najib berkata, rakyat terjejas jika pemimpin lebih minat bermain politik daripada menjaga kebajikan rakyat.

“Inilah terjadi bila kita main politik secara keterlaluan dan tidak mendahulukan kebajikan rakyat seperti mana saya sebutkan.”

Katanya, mana-mana pihak boleh berbeza pendapat dan pandangan kerana Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan turut mengiktiraf hak demokrasi.

“Tetapi, ia bukanlah alasan untuk memburukkan negara hingga orang luar boleh hilang kepercayaan. Sehari dua ini ada yang burukkan negara melalui media sosial dan tulisan tertentu.

“Mereka mempunyai agenda tertentu, untuk mengaut kekuasaan politik dengan apa cara sekalipun. Mereka tidak paparkan agenda yang membina.”

Pada masa sama, Najib turut mengumumkan peruntukan tambahan untuk uniform dan kadar elaun tugas anggota Rela.

Elaun tugas anggota dinaikkan daripada RM6 sejam kepada RM8, manakala elaun pegawai daripada RM7.80 kepada RM9.80 sejam.

Najib turut berjanji memberikan peruntukan lebih banyak, jika BN diberikan mandat selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Timbalan perdana menteri bisik pada saya, dia kata tahun lepas saya sudah luluskan RM80 juta, tahun ini sebanyak RM100 juta.

“Dia kata alangkah cantiknya kalau RM80 juta ditambah dengan RM100 juta. Maka dalam perhimpunan ini, sebagai ambil kira kesetiaan ditunjukkan anggota Rela, saya tambah lagi RM20 juta.

“Sebabnya anggota yang beruniform cuma 550,000 anggota sahaja. Insya Allah selepas kita berhari raya nanti, jika kerajaan dapat mandat baru, insya Allah kita boleh tambah peruntukan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.