PH Selangor lanjut rundingan agihan kerusi DUN

PH Selangor lanjut rundingan agihan kerusi DUN

Ia susulan 6 daripada 56 kerusi itu masih menjadi rebutan 4 parti dalam PH.

Dr-Xavier-Jayakumar-pakatan-harapan
Gambar Facebook.
SHAH ALAM:
Pakatan Harapan (PH) Selangor dilihat masih sukar memuktamadkan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila terpaksa memanjangkan tempoh rundingan susulan 6 daripada 56 kerusi itu masih menjadi rebutan 4 parti.

Sebelum ini, pakatan berkenaan memaklumkan tempoh akhir untuk membuat keputusan tersebut adalah selewat-lewatnya hujung Februari lepas.

Namun Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan, Dr Xavier Jayakumar ketika ditemui malam tadi berkata pengagihan kerusi DUN dijangka dimuktamadkan pada pertengahan bulan ini atau selewat-lewatnya sebelum pembubaran Parlimen bagi tujuan pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau turut mengakui perebutan 6 kerusi itu adalah disebabkan oleh keempat-empat parti gabungan cukup yakin calon mereka mampu menghasilkan kemenangan kepada PH namun enggan mengulas lanjut mengenai lokasinya.

“Setakat ini, 90% daripada rundingan telah selesai, hanya 10% lagi dan ia melibatkan 6 kerusi itu. Tempoh memuktamadkan pengagihan mungkin boleh jadi lebih lama sebab kita yang tentukan.

“Semua pihak nak kerusi (DUN), tapi mestilah ada perundingan dan tolak ansur. Kita akan tengok parti mana yang benar-benar mampu menang maka kita akan buat keputusan itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Manifesto PH.

Ketika ditanya mengenai wujud dakwaan mengatakan PPBM tidak berpuas hati mengenai agihan kerusi DUN Selangor kepada mereka, Xavier menyifatkan semua parti gabungan PH turut mempunyai perasaan yang sama.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PPBM Selangor, Sallehudin Amiruddin dilaporkan berkata PPBM tetap akan bertanding di 12 kerusi DUN selaras dengan matlamat asal penubuhan parti yang mahu bersaing dengan Umno pada PRU14.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.