Pemuda Umno nasihat rakyat jangan terpedaya manifesto populis PH

Pemuda Umno nasihat rakyat jangan terpedaya manifesto populis PH

Armizan Mohd Ali berkata, manifesto PH terikat kepada senarai panjang 'bailout' atau langkah penyelamatan untuk pemimpin gabungan pembangkang itu di Selangor dan Pulau Pinang.

manifesto-ph-malaysia
PETALING JAYA: Seorang exco Pemuda Umno hari ini menasihatkan rakyat supaya tidak terpedaya janji populis Pakatan Harapan (PH), sebaliknya mengkaji rekod prestasi pemimpin “kitar semula” mereka ketika berada dalam kerajaan sebelum ini.

Armizan Mohd Ali dalam satu kenyataan berkata, manifesto dilancarkan PH semalam terikat kepada senarai panjang “bailout” atau langkah penyelamatan untuk pemimpin gabungan pembangkang itu di Selangor dan Pulau Pinang.

Beliau merujuk masalah bekalan air yang dihadapi penduduk Selangor di bawah pimpinan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan skandal jualan tanah serta kontroversi projek terowong dasar laut di Pulau Pinang yang diterajui Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

“Semua `ketirisan’ ini merupakan sebahagian daripada senarai panjang yang tidak boleh diketepikan dalam menilai janji-janji baharu mereka.

“Begitu juga sejauh mana rekod pencapaian kerajaan Johor pimpinan bekas menteri besarnya yang ketika ini Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu berbanding kerajaan Johor pimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini.

“Demikianlah juga berapakah daripada 60 perkara ini yang pernah cuba dilaksanakan Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika beliau memimpin Kedah? Azmin di Selangor dan Guan Eng di Pulau Pinang? Sebelum tertipu dengan janji-janji baharu ini, rakyat harus menyelidik dahulu sejauh mana rekod prestasi pimpinan PH.”

Semalam, PH melancarkan manifesto pilihan raya umum ke-14 untuk meringankan beban rakyat, khasnya dalam 100 hari pertama pentadbiran mereka, termasuk menghapuskan GST dan mengurang kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif, menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.

PH juga berjanji menghapuskan hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda, memperkenalkan skim caruman KWSP untuk suri rumah, menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam bergaji kurang RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

Gabungan pembangkang itu juga bercadang menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji, menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 serta melancarkan kajian terperinci mengenai projek mega diberikan kepada negara asing.

Armizan yang juga ketua Pemuda Umno bahagian Papar mempersoalkan PH kerana tidak menyatakan dari mana mereka memperoleh sumber pendapatan untuk mengotakan “janji bulan dan bintang” gabungan 4 parti pembangkang itu.

Beliau turut mempertikaikan janji PH kepada rakyat Sabah dan Sarawak, sedangkan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menerajui negara selama 22 tahun tidak memberi tumpuan kepada rakyat dan pemimpin di Timur Malaysia.

“Tempoh 22 tahun pentadbiran beliau cukup menginsafkan rakyat Sabah. Kita tidak mahu balik ke era apabila para pemimpin Sabah dianggap umpama kategori kelas ke-3, sekadar layak mengisi kuota dalam Kabinet dengan jawatan ‘tatap’ menteri tanah dan pembangunan koperasi serta menteri di Jabatan Perdana Menteri tanpa portfolio strategik.

“Kita tidak rela anak-anak kita di Sabah dibiarkan terus bersekolah di bangunan dan kelas daif serta usang.

“Hari ini, keutamaan kita antaranya, kita mahu sumber pendapatan lebih tinggi untuk Sabah melalui hak percukaian, industri minyak dan gas serta penghakupayaan anak-anak Sabah dalam pentadbiran dan perkhidmatan awam.”

Armizan berkata, kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjaya melaksanakan janji yang diberikan.

“Beliau bukan sekadar memberikan janji-janji baharu, tetapi beliau sudah mula meletakkan Sabah dan rakyatnya di tempat sewajarnya.

“Bukan sekadar retorik janji, tetapi terpahat dalam rekod pencapaian, satu demi satu janji beliau tepati. Kita tidak mahu sekadar janji manis, yang kita tuntut adalah komitmen diterjemahkan dalam ‘track record’.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.