
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Malaysia berada di kedudukan ke-3 dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita di Asean.
“Barang-barang yang saya hendak bandingkan di negara Asean, Singapura KDNK per kapita mereka adalah AS$52,962 dibandingkan dengan Malaysia yang hanya AS$9,463.
“Kedudukan KDNK per kapita dalam negara Asean, kita di kedudukan ke-3, pertama adalah negara Singapura, ke-2 adalah Brunei dan ke-3 adalah kita.
“Tetapi dari keseluruhan harga barang yang saya jelaskan, dengan strategi yang kerajaan lakukan, kita sepatutnya berbangga,” katanya sewaktu berbahas di Dewan Rakyat hari ini.
Hamzah berkata, harga barangan keperluan asas di Singapura 70% lebih tinggi berbanding Malaysia. Manakala Brunei 71% lebih tinggi dan Thailand pula 23% lebih tinggi walaupun KDNK per kapita sebanyak AS$6,000.
“Indonesia pula mempunyai KDNK per kapita AS$3,599, harga barangan mereka 43% lebih mahal, manakala Filipina yang KDNK per kapitanya AS$3,015, harga barangannya 76% lebih tinggi,” katanya.
Hamzah berkata, kerajaan sememangnya sedar permasalahan di hadapi rakyat terutamanya dalam masalah membabitkan kos sara hidup, disebabkan itu harga barangan keperluan asas dikawal dan dijual pada harga berpatutan.
“Saya sudah jelaskan, setakat ini kita memberikan subsidi kepada barangan keperluan asas seperti gula, minyak masak, gas, tepung, ayam memang kita sudah kawal dengan begitu baik sekali,” katanya.