Pakar ekonomi: Kegagalan sedia peluang kerja kepada graduan rugikan negara

Pakar ekonomi: Kegagalan sedia peluang kerja kepada graduan rugikan negara

Dr Mohd Yusof Saari berkata, pertumbuhan ekonomi negara tidak mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan graduan universiti.

Muhammed-Abdul-Khalid
Muhammed Abdul Khalid (kiri) dan Mohd Yusof Saari (tengah) merupakan panelis dalam Forum ‘Dilema Poket Mahasiswa’ di Hub Teach For The Needs di Bangsar, malam tadi.
KUALA LUMPUR:
Negara mengalami kerugian daripada pelaburan ke atas modal insan apabila kerajaan gagal menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi secukupnya untuk lepasan universiti, kata pakar ekonomi.

Pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Yusof Saari, berkata pelaburan modal insan dan pemberian subsidi untuk program tertentu bertujuan membolehkan graduan menyumbang kepada ekonomi negara apabila mereka memasuki alam pekerjaan.

Bagaimanapun, katanya, keadaan sebaliknya berlaku apabila ekonomi negara berkembang, tetapi ia hanya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran rendah yang tidak dapat memenuhi keperluan graduan universiti.

“Ekonomi kita memang 5.9% berkembang, tapi perkembangan ekonomi tersebut tidak mencipta peluang pekerjaan sebenar. Ia hanya mencipta peluang pekerjaan yang tidak memerlukan kemahiran tinggi,” katanya dalam Forum “Dilema Poket Mahasiswa” di Hub Teach For The Needs (TFTN) di Bangsar, malam tadi.

“Memang betul kalau kita lihat data suku tahun ke-4 2017, kita ada 3 kategori kemahiran (iaitu) tinggi, sederhana dengan rendah. Kemahiran tinggi berbanding suku tahun ke-3 itu, dia punya ‘share’ turun, kemahiran sederhana ‘share’ turun, tapi bertambahnya kemahiran yang rendah.”

Kenyataan Yusof itu turut disokong statistik dikemukakan Dr Muhammed Abdul Khalid daripada DM Analytics, sebuah badan bertanggungjawab mengkaji realiti sebenar kesan dasar ekonomi kepada golongan bawahan.

Muhammed yang merupakan pengarah urusan DM Analytics berkata, hanya 22% peluang pekerjaan berpendapatan tinggi diwujudkan dari 2012 hingga 2015, manakala 33% pekerjaan campuran dan bakinya pekerjaan berpendapatan rendah.

“Kita tidak mencipta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi (secukupnya) untuk graduan.”

Pada 17 Januari lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, peningkatan jumlah graduan universiti tidak bekerja berdasarkan apa yang dipelajari secara akademik membuktikan kegagalan kerajaan dalam menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, keadaan ramai graduan kini terpaksa bekerja sebagai pemandu untuk syarikat perkongsian kenderaan seperti Uber atau menjual nasi lemak, memalukan kerana mereka yang dilatih dengan kecekapan tinggi sepatutnya bekerja menggunakan kebolehan, ilmu dan kecekapan diperolehi.

Muhammed yang juga bekas pengarah ekonomi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan pengarah penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah berkata, cara untuk menyelesaikan masalah itu adalah mengakui negara menghadapi masalah berkenaan, tetapi sebaliknya berlaku.

“Kita tak kata kita ada masalah. Apa yang kita buat? Bila orang tanya budak-budak ini buat Uber, budak-budak ini jual nasi lemak, menteri kata apa? Menteri muda, menteri berpendidikan tinggi di universiti terkemuka di dunia apa dia cakap?

“Dia kata itu pekerjaan yang halal, rezeki yang halal. Jawapan apa ini? Dan apa anda buat? Jumpa dia selfie, jumpa dia cium tangan. Kita tak boleh selesaikan masalah bila budak-budak bawa Uber, jual nasi lemak, kita kata pekerjaan yang bagus,” katanya tanpa mendedahkan nama menteri terbabit.

Pada 22 Januari lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin membidas Dr Mahathir yang pernah menghasilkan banyak buku berkaitan keusahawanan, tetapi kini mengutuk graduan yang menjual nasi lemak dan menjadi pemandu Uber.

Ketua Pemuda Umno itu berkata, rakyat menjadi peniaga atau pemandu Grab disebabkan ia lebih fleksibel dari segi masa dan Malaysia tidak boleh bergantung kepada rakyat makan gaji semata-mata untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

“Kita juga perlu mewujudkan pekerja atau anak muda Malaysia yang menceburi bidang keusahawanan yang mencipta pekerjaan untuk orang lain, menjadi seorang usahawan.”

Adun DAP: Ekonomi lebih baik untuk pekerja asing berbanding graduan

Dr M tak bangga graduan jual nasi lemak, jadi pemandu Uber

Khairy persoal Dr M ‘kutuk’ graduan jual nasi lemak, pandu Uber

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.