Rakaman lembu dijangkiti TB di Selangor tidak benar

Rakaman lembu dijangkiti TB di Selangor tidak benar

Hanya 11 lembu tenusu positif TB disingkir melalui kaedah eutanasia pada tahun ini manakala 68 disingkirkan pada 2016 dan 57 pada 2017.

DVS_lembu
PUTRAJAYA:
Kenyataan bahawa 7,000 hingga 8,000 ekor lembu di Selangor disingkirkan kerana dijangkiti penyakit tuberkulosis (TB) adalah tidak benar, kata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Jabatan itu berkata hanya 11 ekor lembu tenusu positif TB disingkirkan melalui kaedah eutanasia oleh DVS Selangor pada tahun ini manakala 68 ekor disingkirkan pada 2016 dan 57 ekor pada 2017.

“Berdasarkan data bancian DVS Selangor 2016, bilangan lembu tenusu di negeri ini sebanyak 5,775 ekor.

“Oleh demikian, umum tidak perlu risau tentang susu dan daging dihasilkan. Ia selamat untuk diminum dan dimakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jabatan itu berkata mengikut piawaian disarankan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Dunia (OIE), ternakan dijangkiti penyakit TB tidak akan dirawat tetapi perlu disingkirkan.

DVS berkata penyingkiran ternakan positif TB adalah sebagai langkah kawalan mengelakkan penularan penyakit tersebut dan pampasan akan dibayar mengikut kadar ditetapkan.

Baru-baru ini beberapa keping gambar dan rakaman audio mengenai penyingkiran 9 lembu tenusu dijangkiti TB oleh DVS Selangor tular di media sosial.

Rakaman audio bahasa Tamil dan bahasa Inggeris itu menyatakan 7,000 hingga 8,000 ekor lembu di Selangor dibunuh kerana dijangkiti penyakit TB, selain menasihatkan orang ramai tidak meminum susu lembu.

Menurut DVS, gambar tersebut menunjukkan beberapa kakitangan DVS Selangor menanam lembu tenusu yang disingkirkan mengikut prosedur digariskan dalam Protokol Veterinar Malaysia: Tuberkulosis.

Katanya, gambar dirakam di Sungai Nilam pada 10 Jan dan 21 Feb lepas itu adalah prosedur dalam Program Survelan dan Kawalan Penyakit Haiwan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.