
Prasarana Malaysia Berhad dalam kenyataan hari ini berkata sebahagian besar kerja membaik pulih bumbung selesai sekitar 6.00 petang tadi.
“Baki kerja-kerja membaik pulih bumbung stesen di bahagian atas landasan akan bersambung dalam beberapa hari ini selepas waktu operasi, setelah bekalan elektrik di atas landasan ditutup sementara untuk kerja membaik pulih bumbung.
“Justeru, para pengguna diminta mematuhi arahan dan notis yang ditampal di platform stesen,” menurut kenyataan itu.
Dalam kejadian tengah hari semalam, hujan lebat serta angin kencang menerbangkan sebahagian bumbung stesen LRT Kelana Jaya.
Berikutan itu, pihak pengurusan Laluan LRT Kelana Jaya menutup stesen itu bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan dan baik pulih.
Sepanjang penutupan itu, bas perantara percuma disediakan untuk membawa penumpang dari Stesen Taman Bahagia ke Stesen Kelana Jaya dan sebaliknya manakala operasi di stesen-stesen lain di LRT Laluan Kelana Jaya berjalan seperti biasa.
Para pengguna diminta menyemak status terkini perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya menerusi akaun media sosial facebook.com/myrapid atau twitter @MyRapidKL.