
Hubungan Muhammad Adam Mikhael, 3, dan pasangan G Banupiriya serta K Gunaseelan, masing-masing berusia 30 tahun bermula 2021 yang utuh seperti sulaman benang emas, makin indah bila dirajut bersama.
Ketika itu, ibunya Shaidatul Naqiyah Mohamad Abdullah meminta bantuan pasangan berkenaan yang juga jirannya untuk menjaga Adam sepanjang dia keluar bekerja.
Tindakannya itu pada mula dipersoalkan kerana membiarkan Adam yang berusia tiga tahun ketika itu untuk tinggal bersama keluarga bukan Islam sehingga timbul kebimbangan anak kecil itu mungkin murtad.
“Saya sendiri orang Islam dan tahu batasnya, tak semestinya bangsa lain tak baik… ramai baik sebenarnya. Cuma masih ada salah faham,” katanya kepada FMT.

Ternyata selepas dijaga beberapa tahun oleh pasangan bukan Islam itu, pegangan agama Adam masih kukuh yang memadam persoalan dibangkitkan segelintir penduduk.
‘Adam anak lelaki kami’
Bagi Banupiriya atau lebih mesra disapa Jenny dan Gunaseelan, kehadiran Adam bagaikan melengkapkan keluarga mereka yang sudah dikurniakan tiga anak perempuan.
“Adam bukan lagi orang luar, tapi macam anak lelaki kami sendiri. Walaupun suatu hari nanti kami dapat anak lelaki, Adam tetap sebahagian daripada keluarga kami,” kata Jenny.

Namun, perjalanan mereka tidak selalu mudah. Ada satu ketika, Adam dan pasangan itu terpaksa berjauhan selama enam bulan. Kerinduan yang dirasakan begitu mendalam, sehingga Gunaseelan yang mesra disapa ‘Appa’ sering sebak apabila teringatkan Adam.
“Memang rindu sangat. Adam manja, selalu tidur atas tangan saya. Bila jauh, hati kosong,” katanya.
Enam bulan kemudian, pertemuan semula menjadi detik penuh emosi. Walaupun masih kecil, Adam tidak melupakan ‘Amma’ dan ‘Appa’.
“Sebelum jumpa semula itu kami risau, ingatkan dia mungkin sudah lupa. Tapi kuasa Tuhan, sebaik sahaja nampak kami, Adam terus sebut ‘Amma’. Umur baru sembilan bulan, dia masih ingat. Masa itu memang kami terharu,” kongsi Jenny.
Seperti satu keluarga
Bagi Shida, ikatan itu bukan sekadar antara Adam dengan pasangan berkenaan, tetapi merangkumi dirinya serta dua lagi anaknya.
“Mereka bukan saja terima Adam, tapi saya pun dianggap macam adik sendiri. Waktu saya susah atau sakit, mereka ada. Masa saya perlukan pertolongan, mereka yang paling banyak bantu,” kata Shida sebak.
Kisah mereka yang pernah tular di TikTok menyentuh hati ribuan warganet. Bagi ramai, ia bukti bahawa nilai kemanusiaan dan kasih sayang sejati mampu merentasi warna kulit, bangsa, dan agama.