16 Sept: Bila kita betul-betul jadi Malaysia

16 Sept: Bila kita betul-betul jadi Malaysia

Masa depan Malaysia bukan hanya ditentukan pemimpin tetapi oleh kita semua — di meja makan, di media sosial, di bilik darjah dan di kotak undi.

Momen di kantin, cermin sebuah negara

Beberapa hari lalu, saya berada di sebuah kantin sekolah rendah bagi urusan Baucar Buku Madani untuk guru. Pagi itu kantin sekolah hidup dengan bunyi, bau dan warna. Bau nasi lemak bercampur aroma mi goreng yang baru digoreng, bunyi sudu berlaga dengan pinggan melamine, dan suara pelajar berbaris membuat suasana seperti pesta kecil. Ada yang menjerit memanggil kawan, ada yang tertawa kerana terlupa bawa duit, ada yang berkongsi air sirap dalam gelas plastik. Seorang guru berjalan di celah meja sambil menegur dengan mesra, ‘makan habis ya, jangan membazir’.

Di satu sudut, seorang pelajar Melayu menghulurkan sudu kepada rakannya yang terlupa membawa. Pelajar Cina mengangkat dulang pelajar OKU dan membawanya ke singki, disambut senyuman rakan lain. Dua pelajar India pula berkongsi sepinggan bihun kerana rakannya terlupa bawa duit belanja, namun tetap ketawa riang. Pemandangan ini seperti lukisan hidup sebuah negara — harmoni bukan diucapkan dalam slogan, tetapi terjadi secara semula jadi di meja makan.

Sambil memerhati, saya terdengar dua pelajar berbual. “Kenapa 16 Sept baru cuti besar-besaran sejak kebelakangan ni?” tanya seorang. Gurunya menjawab dengan senyum, “Sebab kita pun baru belajar untuk hargai tarikh ini.” Kata-kata itu membuat saya termenung lama — ya, penyatuan ini sebenarnya sebuah perjalanan yang kita masih sedang lalui.

16 Sept: Tarikh yang ambil masa untuk diiktiraf

Hari Merdeka 31 Ogos sering diraikan dengan perarakan gilang-gemilang, tetapi 16 Sept selama ini hanya diraikan secara sederhana. Ironinya, walaupun tarikh ini menandakan kelahiran Malaysia pada 1963, ia hanya diisytihar cuti umum kebangsaan pada 2010. Sebelum itu, hanya Sabah dan Sarawak bercuti pada tarikh tersebut. Hampir setengah abad kita mengambil masa untuk benar-benar mengiktiraf detik penyatuan ini di peringkat nasional — satu simbol bahawa kita masih belajar menjadi Malaysia yang sebenar. Tahun ini lebih manis kerana kerajaan memberikan cuti tambahan pada 15 Sept.

MA63 – Ikrar atas kertas, harapan di dalam hati

Hari Malaysia lahir daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dimeterai selepas Suruhanjaya Cobbold mengumpul pandangan rakyat Sabah dan Sarawak. Majoriti bersetuju menyertai Malaysia dengan syarat hak mereka dilindungi. Rundingan panjang melibatkan Tunku Abdul Rahman, Donald Stephens, Tun Jugah dan Tun Mustapha. Jaminan diberikan melalui ’20 Perkara’ dan ’18 Perkara’ yang meliputi autonomi imigresen, bahasa ibunda, agama, dan hasil negeri.

Namun, penyatuan ini bukan tanpa cabaran. Indonesia melancarkan konfrontasi, Filipina membuat tuntutan ke atas Sabah, dan hanya dua tahun kemudian Singapura keluar dari Malaysia kerana ketegangan politik. Peristiwa ini menjadi peringatan penyatuan bukan sesuatu yang berlaku sekali, tetapi perlu dijaga, dipupuk dan diperkukuh setiap masa.

Borneo: Nadi yang sering terlupa

Sabah dan Sarawak adalah nadi penting Malaysia — pembekal minyak, gas, makanan dan kepelbagaian budaya yang menjadi wajah negara. Namun, ada kawasan pedalaman yang masih bergantung kepada jalan balak, ada pelajar yang perlu menaiki bot selama dua jam untuk sampai ke sekolah. Projek Pan Borneo diharap mempercepat pembangunan, tetapi rakyat mahu melihat hasil nyata, bukan sekadar papan tanda di tepi jalan.

Jurang digital dan migrasi belia

Internet kini seperti jalan raya baharu. Namun, masih ada kawasan di Sabah dan Sarawak yang tiada capaian internet laju. Semasa PdPR, ada pelajar memanjat bukit untuk mendapatkan liputan telefon. Ramai belia berhijrah ke Semenanjung mencari pekerjaan, meninggalkan kampung tanpa tenaga muda. Hari Malaysia sepatutnya menjadi seruan untuk menutup jurang ini — sama ada jurang digital, jurang ekonomi atau jurang persepsi antara wilayah.

Merdeka daripada penjajah tapi belum dari prasangka

Kita sudah merdeka daripada penjajah, tetapi belum tentu merdeka daripada rasa curiga dan prejudis. Media sosial sering menjadi medan perbalahan, membesarkan isu kecil sehingga memecahkan silaturahim. Hari Malaysia adalah hari untuk memerdekakan hati — memilih untuk melihat kebaikan, mencari titik persamaan, dan menolak naratif yang memecah belah.

Perpaduan bermula dari meja makan

Kantin sekolah adalah metafora terbaik. Di situlah pelajar Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban duduk semeja, berkongsi makanan dan ketawa. Mereka tidak memikirkan siapa majoriti atau minoriti. Kita yang dewasa boleh belajar daripada mereka: duduk semeja dengan orang yang berbeza, mendengar cerita yang tidak pernah kita dengar, dan mencari persamaan. Perpaduan tidak memerlukan projek mega — ia bermula dengan hati yang terbuka. Sabah dan Sarawak lebih jauh ke hadapan dalam konteks perpaduan kerana perbezaan etnik dan agama wujud dalam satu keluarga, tanpa ada rasa curiga dan prasangka.

Apa perlu kita lakukan?

Kerajaan perlu memastikan janji pembangunan menjadi realiti. Jalan raya mesti siap, sekolah perlu selamat, hospital dilengkapi, peluang pekerjaan diwujudkan. Sektor swasta boleh membuka kilang dan pusat logistik di Borneo untuk mencipta pekerjaan setempat. NGO boleh menyediakan kelas tuisyen percuma, latihan kemahiran dan program kesedaran untuk belia.

Buku untuk semua: Pendemokrasian ilmu

Inisiatif seperti Baucar Buku Madani yang boleh ditebus secara dalam talian adalah langkah besar dalam pendemokrasian ilmu. Murid di Tawau, guru di Lurah Bilut, atau pensyarah di pedalaman Sarawak kini boleh membeli buku yang sama seperti mereka di Kuala Lumpur. Akses bacaan menjadi hak semua, bukan hanya mereka di bandar besar. Setiap baucar yang ditebus adalah pelaburan terhadap minda bangsa dan masa depan Malaysia.

Malaysia lebih daripada geografi

Malaysia bukan sekadar peta atau sehelai bendera. Ia adalah bahasa yang kita kongsi, makanan yang kita nikmati, dan semangat untuk berdiri bersama. Setiap kali Jalur Gemilang dikibarkan, biarlah ia membawa janji baharu — janji untuk menjadi warganegara yang menyatukan, bukan memisahkan.

Hari Malaysia bukan sekadar cuti umum. Ia adalah peluang untuk menilai sejauh mana kita menepati janji 1963, sejauh mana kita memahami suara Borneo, dan sejauh mana kita berani memperbaiki diri. Masa depan Malaysia bukan hanya ditentukan pemimpin, tetapi oleh kita semua — di meja makan, di media sosial, di bilik darjah dan di kotak undi.

Malaysia adalah kita, dan kita adalah harapan Malaysia!

 

Mohamed Nasser Mohamed adalah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.