Ceramah PH di Kamunting tiada permit, kata polis

Ceramah PH di Kamunting tiada permit, kata polis

Polis juga menerima laporan daripada penduduk setempat mendakwa ceramah yang dihadiri Dr Mahathir Mohamad semalam menghalang lalu lintas.

jelajah-ph-3
Gambar Facebook.
TAIPING:
Ceramah Jelajah Pakatan Harapan yang diadakan di jalan utama ke Kampung Bukit Jana, Kamunting di sini pada malam tadi disahkan tidak mempunyai permit polis.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Taib berkata pihaknya juga menerima laporan polis daripada penduduk setempat yang mendakwa ceramah tersebut menghalang lalu lintas.

Sebelum itu anggota keselamatan meminta pihak penganjur untuk mengubah sebuah treler milik Pakatan Harapan yang boleh diubah menjadi pentas ceramah kerana didakwa mengganggu lalu lintas kira-kira 8.30 malam.

Selain itu, Pakatan Harapan menggunakan kenderaan pacuan 4 roda untuk membolehkan penceramah berceramah di sepanjang jalan itu.

Antara yang hadir Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yasin, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Meng.

Ceramah itu tamat kira-kira 12.00 tengah malam diakhiri dengan ceramah daripada Tun Mahathir.

Kira-kira 2,000 penyokong menghadirinya walaupun PH mendakwa 10,000 yang hadir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.