
Ia susulan laporan FMT semalam berhubung dakwaan gangguan seksual yang dibuat seorang bekas pekerja badan bukan kerajaan antarabangsa itu.
“Kami mengendalikan semua dakwaan salah laku oleh mana-mana pekerja dengan sangat serius dan ini termasuk dakwaan dikemukakan bekas pekerja melalui Facebook.
“Kami segera mengkaji dakwaan ini dan walaupun pekerja itu meninggalkan organisasi ini suatu masa dahulu, kami akan siasat perkara ini dan terus hubungi mereka yang merasakan diri menjadi mangsa,” kata Pengarah Eksekutif WWF-Malaysia Datuk Dionysius Sharma.
WWF-Malaysia memberi maklum balas terhadap pertanyaan FMT berhubung dakwaan seorang bekas pekerja melalui Facebook yang organisasi itu menyembunyikan gangguan seksual ke atas seorang kakitangan junior wanita.
Seorang mangsa bernama Dana (bukan nama sebenar) memberitahu apa yang berlaku kepadanya ketika beliau menyertai NGO itu 13 tahun lalu.
Dana mendakwa penyelianya membuat kenyataan mengenai badannya dan mencadangkan mereka berkongsi sebuah bilik apabila menghadiri satu bengkel di luar negara. Apabila beliau menolaknya, ugutan dibuat terhadap prestasi kerjanya.
Dana berkata, beliau tahu ada pekerja lain yang turut menjadi mangsa.
“Sebelum dan selepas saya. MO (modus operandi) sama, kenyataan mengenai badan dan cadangan berkongsi bilik yang sama,” katanya sambil menambah tiada tindakan diambil terhadap laporan yang dibuat terhadap penyelia itu.
WWF-Malaysia berjanji akan mengambil tindakan bagi membantu pekerja terbabit.
“Kami komited mendengar (aduan) mereka dan memberi jaminan akan melakukan yang terbaik menangani kebimbangan yang mereka bangkitkan. Kami komited untuk memastikan kami menjaga orang yang meletakkan kepercayaan mereka kepada kami, termasuk bekas pekerja.
“WWF-Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap gangguan seperti dinyatakan dalam kod tatalaku global WWF, dan kami bertekad terus memperkukuhkan dasar kami untuk melindungi hak mereka yang bekerja dengan kami.”
Katanya, organisasi itu mempunyai dasar melindungi pemberi maklumat untuk individu yang menyuarakan masalah mereka.