
Menurut sumber, CEO JKP Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, tampil di ibu pejabat SPRM negeri pada 1.25 tengah hari tadi dan ditahan serta-merta.
FMT menghubungi Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Abd Aziz Aban untuk mendapatkan komennya dan sedang menunggu maklum balasnya.
Penahanan CEO itu susulan seorang pengarah sebuah firma perunding kejuruteraan berusia 50 tahun ditahan semalam kerana didakwa mempengaruhinya menggunakan perkhidmatan syarikatnya.
Seorang sumber berpangkat tinggi dilaporkan berkata, pengarah itu mempengaruhi seorang “individu tertentu” di JKP dan mendapat kira-kira RM3 juta dalam 11 tahun.
Difahamkan, firma kejuruteraan itu menawarkan diri sebagai perunding jurutera sivil dan struktur untuk projek JKP, walaupun seorang daripada orang penting JKP mempunyai “konflik kepentingan” dengan firma berkenaan.
Mahkamah Majistret meluluskan permohonan untuk perintah reman ke atas pengarah itu mulai semalam sehingga 5 Mac ini.
JKP membina rumah mampu milik di Pulau Pinang.
Kes itu dipercayai ada kaitan dengan aduan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang mendakwa hasil semakan menunjukkan firma kejuruteraan itu memperoleh RM3.06 juta daripada pembabitannya dalam beberapa projek itu.