Pemerhati bebas pendengaran kes atur perlawanan ditarik balik

Pemerhati bebas pendengaran kes atur perlawanan ditarik balik

Kelayakan Jadadish Chandra ditarik balik bagi sesi pendengaran kes atur perlawanan membabitkan 2 pemain badminton Malaysia kerana memberi kenyataan media.

Jadadish-Chandra-afp
Gambar afp.
SINGAPURA:
Pelantikan Jadadish Chandra sebagai pemerhati Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ditarik semula bagi sesi pendengaran berhubung kes mengatur perlawanan membabitkan 2 pemain badminton Malaysia oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.

Hari ini merupakan hari terakhir bagi sesi pendengaran 2 hari itu yang bermula semalam.

“Pada pukul 9 pagi ini saya dimaklumkan oleh BWF bahawa pengerusi panel bagi pendengaran ini ada menerima bantahan daripada peguam pemain bahawa saya telah memberi kenyataan media,” Jadadish memberitahu media hari ini.

“Saya dimaklumkan pengerusi panel bahawa pelantikan saya sebagai pemerhati ditarik balik,” katanya.

Beliau menyatakan beliau tidak diberitahu secara spesifik kenyataan media yang dimaksudkan oleh BWF itu.

Diminta mengulas sama ada tindakan BWF menghalang tugas media, Jadadish menyifatkan tindakan BWF tidak wajar dan tidak patut.

“Jika ada bantahan daripada pegawai pemain, bantahan tersebut harus dikemukakan semasa permulaan bicara pagi ini… bukan secara memberitahu saya pada 9 pagi pada hal bicara pada pukul 10 pagi,” katanya.

Selain menjadi ahli majlis BAM, Chandra juga merupakan ahli utama bagi jawatankuasa peraturan, disiplin dan integriti badan induk itu.

Sesi pendengaran itu dikendalikan oleh panel 3 anggota daripada BWF.

Zulfadli, Chun Seang berdepan 6 pertuduhan atur perlawanan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.