Malaysia merosot dalam indeks rasuah global, terburuk dalam 5 tahun

Malaysia merosot dalam indeks rasuah global, terburuk dalam 5 tahun

Malaysia juga di tangga ketiga di rantau Asean, tetapi jauh ditinggalkan dari segi markah oleh Singapura dan Brunei.

bribe2
KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat penurunan sebanyak 7 tangga dan kini berada di kedudukan ke-62 daripada 180 negara dalam indeks rasuah dikeluarkan oleh badan ketelusan antarabangsa, Transparency International (TI), prestasi yang terburuk sejak 5 tahun lepas.

Malaysia memperoleh markah 47 daripada 100 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017 yang dikeluarkan hari ini oleh kumpulan anti rasuah tersebut.

Walaupun Malaysia muncul di kedudukan ke-3 dalam kalangan 10 negara Asean, ia masih jauh terkebelakang dari segi markah.

Di tempat teratas di kalangan Asean adalah Singapura dengan 84 markah, yang juga mendapat tempat ke-6 dalam kedudukan antarabangsa, diikuti Brunei dengan 62 markah.

aac282cc-7151-469b-949d-221c7137d642
Rajah menujukkan Malaysia berkongsi tangga 62 dengan Cuba, dalam laporan Index Persepsi Rasuah terkini dikeluarkan Transparency International hari ini.

Laporan tahunan CPI berdasarkan tinjauan daripada mereka yang terlibat dalam industri perniagaan, termasuk penganalisis risiko dan orang awam bekerja di negara yang dinilai. Ia berdasarkan sekurang-kurangnya 3 tinjauan bebas berkenaan persepsi di setiap negara. Malaysia menggunakan 9 sumber.

Antara respons pertama mengenai laporan itu ialah dari veteran DAP, Lim Kit Siang, yang menyifatkan prestasi Malaysia kali ini lebih buruk berbanding di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Sejarah 23 tahun CPI dari 1995 ke 2017 menunjukkan Malaysia kekal malah merosot dari segi integriti dan prinsip akauntabiliti dan tadbir urus baik sepanjang 2 dekad, jika dibandingkan dengan negara lain seperti China dan Indonesia, yang mencapai penambahbaikan memberangsangkan,” kata Lim.

“Apa tindakan diambil untuk menambah baik ranking dan markah CPI Malaysia?” soalnya, sambil mendakwa pihak berkuasa sering melabel tuduhan korupsi sebagai “berita palsu”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.