Kemalangan maut DUKE pada 2015, pemandu Myvi dipenjara

Kemalangan maut DUKE pada 2015, pemandu Myvi dipenjara

2 tertuduh didapati bersalah memandu secara berbahaya sehingga meragut nyawa 3 beranak, termasuk bayi 6 bulan dalam kemalangan tragis 3 tahun lalu.

Myvi-driver_jail
Tertuduh Siti Noor Aini Mohd Said, 39 (kiri) dan Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 34 (kanan) ketika dihadapkan di mahkamah. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Dua pemandu Perodua Myvi dihukum penjara 3 tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas didapati bersalah memandu secara berbahaya sehingga meragut nyawa 3 beranak, termasuk bayi berusia 6 bulan, dalam kemalangan tragis di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE), 3 tahun lalu.

Majistret Zilfinaz Abbas menjatuhkan hukuman itu ke atas Siti Noor Aini Mohd Said, 39, penyelia restoran dan kenalannya yang merupakan tertuduh ke-2, Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 34, bekerja sendiri, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Dalam keputusannya Zilfinaz berkata mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh selepas mendapati keterangan mereka ketika membela diri tidak konsisten dan bersifat penafian semata-mata.

Kedua-dua tertuduh turut diperintahkan dipenjara 2 tahun jika gagal membayar denda selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh 5 tahun.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan terhadap keputusan hari ini didengar di Mahkamah Tinggi dan menaikkan jaminan daripada RM9,000 kepada RM14,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Pada 2 Mei 2015, Mohammad Fizal Reza dan Siti Noor Aini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka yang berusia 6 bulan, Nur Firuza Annisa.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Km6, Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta antara 12.31 tengah malam dan 12.35 tengah malam pada 2 Mei 2015 mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/05/03/video-kemalangan-ngeri-di-lebuh-raya-duke/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/05/08/pemandu-myvi-mengaku-tidak-bersalah/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/05/03/cctv-rakam-aksi-myvi-berlumba-di-duke/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.