Zahid beri jaminan polis siasat Namewee secara profesional

Zahid beri jaminan polis siasat Namewee secara profesional

Timbalan perdana menteri berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat Namewee.

zahid-hamidi
Ahmad Zahid Hamidi (tiga dari kiri) ditemani Hishammuddin Hussein (dua dari kiri) dan Nur Jazlan Mohamed (empat dari kiri) menghadiri sidang media selepas majlis pra pelancaran penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2018 (DSA 2018) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan Asia (Natsec Asia) di ibu negara, hari ini.
KUALA LUMPUR:
Timbalan perdana menteri memberi jaminan polis akan menjalankan siasatan secara profesional ke atas pemuzik kontroversi, Namewee berhubung klip video terbarunya yang bertajuk “Like a Dog”.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri dalam negeri berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat Namewee atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee.

“Kita akan menyerahkan kepada polis, IGP (ketua polis negara) telah mengeluarkan kenyataan semalam.

“Kita akan menyerahkan kepada pihak polis melakukan proses siasatan secara profesional,” katanya selepas merasmikan majlis pra pelancaran sempena penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2018 (DSA 2018) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan Asia (Natsec Asia) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (Mitec) hari ini.

Turut hadir adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Namewee berhubung klip video itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, polis bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menyiasat klip video kontroversi itu.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata polis sedang mengesan Namewee yang dipercayai berada di luar negara ketika ini.

Minggu lalu, Namewee memuat naik klip video terbarunya sempena Tahun Baru Cina itu yang memaparkan sekumpulan individu bertopeng anjing, didakwa mengandungi aksi tarian lucah berdekatan Bangunan Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Sabtu lalu, Namewee menerusi satu video penjelasan yang dimuat naik ke Youtube, mempertahankan video “Like a Dog” itu hanya hiburan dan tidak berniat menghina mana-mana agama atau bangsa.

Beliau berkata, penggambaran video itu dibuat di kawasan lapang yang terletak di tepi jalan utama Putrajaya, bukannya di depan masjid seperti dakwaan sesetengah pihak.

 

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.