Zahid harap Indonesia tidak henti penghantaran pembantu rumah

Zahid harap Indonesia tidak henti penghantaran pembantu rumah

TPM berkata tindakan drastik akan merugikan kedua-dua negara dan memberi jaminan kerajaan tidak melindungi majikan yang zalim.

pembantu-rumah-indonesia
BAGAN DATUK: Malaysia berharap Indonesia tidak memberhentikan penghantaran pembantu rumah berikutan kes penderaan dan kematian yang berlaku di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini kerana ia merupakan kes terpencil.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi berkata tindakan drastik negara jiran itu hanya akan merugikan kedua-dua negara.

Justeru, Zahid berkata beliau akan bertemu Menteri Tenaga Kerja Indonesia Muhammad Hanif Dhakiri untuk berunding semula dan mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung masalah yang berlaku dalam tempoh terdekat.

“Kita melahirkan rasa terkilan jika benar pihak Indonesia, mengikut laporan media, akan menghentikan penghantaran pembantu rumah ke negara kita disebabkan kes terpencil yang berlaku berhubung penderaan terhadap pembantu rumah.

“Malah kita tahu bahawa kita mempunyai SOP (tatacara operasi standard) yang tertentu yang harus dipatuhi para majikan dan kerajaan Malaysia tidak akan pernah melindungi mana-mana majikan yang melakukan penderaan atau kezaliman,” katanya.

Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di Dataran Bagan Datuk dan turut meninjau beberapa projek infrastruktur di sekitarnya.

Dalam laporan portal berita tempatan yang memetik portal berita Indonesia hari ini, Jakarta merancang untuk membekukan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia susulan kematian Adelina Jerima Sau, 21, yang didakwa didera di rumah majikan.

Zahid berkata atas dasar kemanusiaan, Malaysia tidak akan melindungi atau menyembunyi sebarang fakta yang berlaku dalam kejadian tersebut.

“Pendakwaan akan dilakukan dan pengadilan akan dibuat di Malaysia. Indonesia perlu yakin negara ini merupakan sebuah negara yang berbeza dengan negara-negara lain (berhubung kes penderaan dan kematian pembantu rumah),” katanya.

Dalam pada itu, Zahid menjelaskan dari segi kadar peratusan penderaan pembantu rumah di negara ini, ia yang terendah berbanding negara-negara lain.

“…ertinya kita mengambil kepedulian terhadap kebajikan pembantu rumah dari Indonesia di negara ini,” katanya.

Zahid memberi jaminan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia akan terus memantau jika terdapat aduan berkaitan penderaan pembantu rumah dI negara ini.

“Kita akan melihat semula perjanjian di antara majikan dan pekerja berkenaan, mana-mana peraturan yang masih mempunyai kelonggaran maka kita akan adakan kajian semula termasuk SOP keselamatan,” katanya.

Adelina yang mengalami kecederaan di kepala dan muka serta cedera di kedua-dua kaki meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.