Hero ‘Ali Setan’ meninggal dunia pada usia 65

Hero ‘Ali Setan’ meninggal dunia pada usia 65

Azmil Mustapha Kamil meninggal dunia kira-kira jam 1 tengah hari hari ini.

azmil-mustapha_700
PETALING JAYA:
Azmil Mustapha, pelakon filem yang terkenal dengan watak “Ali Setan” sekitar tahun 1980-an meninggal dunia hari ini.

MStar Online melaporkan Azmil, 65, meninggal dunia kira-kira jam 1 tengah hari dan berita itu disahkan adiknya Aziph Mustapha.

“Kami memohon maaf bagi pihak Allahyarham atas segala kekhilafan, dan mohon doakan kesejahteraan Allahyarham. Mohon hubungi kami sekiranya ada sebarang kesulitan,” katanya.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah Alam untuk disempurnakan, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam.

Azmil meninggalkan 2 bekas isteri dan 5 anak.

Azmil atau nama sebenarnya Mohd Azmil Mustapha Kamil pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana kesukaran bernafas pada November tahun lalu.

Sepanjang kerjaya seninya, beliau banyak membintangi filem box office seperti “Ali Setan”, “Mekanik”, “Ali Setan 2”, “Suara Kekasih” dan “Kepala Angin”.

Filem terakhir lakonan beliau ialah “Puteri Gunung Ledang” arahan Saw Teong Hin di mana beliau memegang watak Imam Demak.

Azmil juga banyak terlibat dalam aktiviti dakwah dan pernah ke Syria untuk mempelajari Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.