PM: ‘Parti bunga’ gagal tadbir parti, tak mampu tadbir negara

PM: ‘Parti bunga’ gagal tadbir parti, tak mampu tadbir negara

Tanpa menamakan parti berkenaan, Najib merujuk kepada PPBM, pimpinan Dr M yang menggunakan bunga sebagai lambang parti.

najib-ppbm
MUAR:
Bagaimana “parti bunga” hendak mentadbir negara jika pemimpin parti itu tidak mampu mentadbir parti sendiri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib yang juga Presiden Umno berkata pentadbiran dan perlembagaan Umno mempunyai tertib tersendiri, contohnya mesyuarat bahagian dibuat setelah selesai mesyuarat cawangan, namun perkara sebaliknya berlaku dalam ”parti bunga”.

Tanpa menamakan parti berkenaan, Najib merujuk kepada PPBM, pimpinan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggunakan bunga sebagai lambang parti.

Katanya, parti pembangkang itu cuba meniru perlembagaan Umno, namun percubaan itu gagal apabila parti gagal mentadbir parti dengan baik, mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan ahlinya.

“Macam mana nak tadbir negara sendiri kalau parti tidak diurus baik, jangan cakap mengenai perubahan, jika kestabilan pun masih tidak tentu.

“Jika tiada kestabilan negara bagaimana projek seperti HSR (Kereta Api Bekrleajuan Tinggi) dapat dilaksana untuk rakyat, bukan setakat HSR, lampu jalan pun tak mampu buat,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Penyerahan Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung Negeri Johor di Bukit Mor hari ini.

Turut hadir adalah isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim.

Sementara itu, pada sidang media selepas majlis itu, Najib berkata ”parti bunga” itu tidak sepatutnya menyalahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) atas segala permasalahan dihadapi.

“Sebelum ini JPPM meluluskan pemilihan semua DAP… ini bermakna mereka tidak mampu mematuhi perlembagaan sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.