Beku peruntukan: Tak perlu jumpa sultan, Azmin beritahu PAS

Beku peruntukan: Tak perlu jumpa sultan, Azmin beritahu PAS

Menteri besar Selangor berkata mana-mana Adun yang mempunyai masalah boleh berjumpa dengannya atau pegawai daerah.

azmin-ali-shah-alam
AMPANG JAYA: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali berkata isu pembekuan peruntukan negeri kepada wakil rakyat dan penyelaras DUN PAS boleh diselesaikan tanpa perlu berjumpa Sultan Selangor.

Beliau berkata mana-mana Adun yang mempunyai masalah boleh berjumpa dengannya atau pegawai daerah.

“Kalau Umno kita bagi takkan Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan tak bagi. Cuma kena patuh prosedur,” kata Azmin kepada pemberita selepas satu majlis di Masjid Ukay Perdana hari ini.

Azmin berkata beberapa permohonan Adun tentang projek yang hendak dilaksanakan sudah diserahkan pada pegawai daerah masing-masing.

“Saya terima beberapa permohonan Adun tentang projek-projek yang hendak dilaksanakan, dan saya telah serahkan pada pegawai daerah untuk lihat dan luluskan.”

Sebelum ini, PAS memberi tempoh kepada Azmin sebelum Tahun Baru Cina 17 Februari ini untuk melepaskan peruntukan negeri kepada wakil rakyat dan penyelaras DUN PAS.

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi memberi amaran parti Islam itu akan bertindak sekiranya pengerusi Pakatan Harapan Selangor itu tidak memenuhi tuntutan mereka.

“Kalau kami masih belum menerima juga, dan apabila Adun-Adun lain yang kami difahamkan ada yang boleh menggunakan peruntukan ini, maka selepas daripada Tahun Baru Cina ini kita akan ambil tindakan seterusnya termasuk buat kenyataan rasmi,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa PAS harian Selasa lalu.

Media sebelum ini juga melaporkan, Sallehen tidak menolak kemungkinan akan menghadap Sultan Selangor, jika isu pembekuan peruntukan wakil rakyat parti itu tidak diselesaikan segera.

“Dia tidak datang jumpa saya. Saya ingat tidak ada masalah. Dia nak jumpa Istana saya tak boleh halang,” kata Azmin.

Beku peruntukan: PAS beri tempoh kepada Azmin sebelum Tahun Baru Cina

Bekas pesuruhjaya PAS pertahan Azmin, dana tak pernah masuk Januari

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.