
Ini susulan penahanan seorang polis berpangkat lans koperal 2 hari lepas, kata sumber.
Kedua-dua polis berkenaan yang bertugas di Balai Polis Pagoh ditahan kerana menerima sebahagian wang RM700 rasuah bulanan bagi November dan Disember 2017 dan bulan Januari 2018, diterima oleh suspek pertama yang ditahan 2 hari lepas.
Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek turut menerima wang rasuah tersebut untuk tujuan sama iaitu dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas majikan pengadu yang mengambil pekerja asing tanpa permit kerja (PATI) bekerja di tapak pembinaan sekitar Pekan Pagoh.
Kedua-dua suspek lelaki berusia 50 tahun dan 28 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Batu Pahat kira-kira jam 4.00 petang semalam bagi membantu siasatan.
Kes disiasat bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Terdahulu, suspek pertama ditangkap 2 hari lepas ditahan reman 4 hari bermula hari ini sehingga 10 Februari kerana disyaki menerima wang rasuah RM700 secara bulanan daripada staf kontraktor sejak November 2017 sehingga Januari 2018.
Ia sebagai dorongan tidak mengambil tindakan atas kesalahan mengambil pekerja buruh asing tanpa permit bagi melaksanakan kerja pembinaan sekitar Pekan Pagoh.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohd Syafiq Mustaza di Mahkamah Majistret Batu Pahat.
Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi malam ini mengesahkan tangkapan tersebut namun enggan mengulas lanjut.