
Pengarah Urusan Kumpulannya, Greg Budworth, berkata kos kewangan rumah mampu milik juga dapat dikurangkan dengan memperkenalkan lebih banyak bon.
“Malaysia antara negara terbaik dari segi pelan kebangsaan dan Australia sebenarnya boleh belajar 1 atau 2 perkara mengenainya,” katanya kepada Bernama di luar acara Habitat Business Assembly oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Compass Housing Services antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam penyediaan perumahan sosial terbesar Australia.
Pada perhimpunan ini, Budworth, yang juga naib presiden Habitat General Assembly of Partners PBB, turut menyampaikan syarahan berkenaan matlamat pembangunan mampan.
Perhimpunan berkenaan sebahagian program World Urban Forum (WUF) yang mana sektor swasta, rangkaian bandar dan perniagaan, bank pembangunan, pelabur, pertubuhan, kerajaan tempatan dan antarabangsa, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pemegang kepentingan industri, saling bekerjasama menjayakan pembangunan bandar mampan.
Budworth berpendapat perbincangan perumahan mampu milik harus berubah dari pandangan terhadap kos kepada pendekatan pelaburan kerajaan.
“Terdapat kaedah teknologi berkesan untuk menggunakan sumber yang ada. Bagaimanapun, pada pandangan saya, jika kerajaan melabur dalam pembinaan rumah mampu milik, secara ekonominya bidang ini akan berkembang,” katanya
Di Australia, katanya, kadar pulangan pelaburan dalam bidang pembinaan adalah 2.9 kali, menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar.
Budworth berkata, selain kelebihan ekonomi, ia juga memberi kelebihan sosial, seperti jumlah pekerjaan lebih tinggi, kadar jenayah rendah, pendidikan lebih baik serta gaya hidup lebih baik untuk semua pihak.
“Bandar stabil baik kepada ekonomi dan rakyat,” katanya.
Habitat Business Assembly oleh PBB tahun ini memberi fokus tindakan Agenda Perbandaran Baru untuk pihak perniagaan mengaplikasikan inovasi dan kreativiti mereka dalam menyelesaikan cabaran pembangunan mampan di kawasan bandar – menyedari aktiviti sektor swasta, pelaburan dan inovasi adalah pemacu kepada produktiviti, termasuk pertumbuhan dan penciptaan pekerjaan.