KPN: Hentikan spekulasi kes bekas suami Indira Gandhi

KPN: Hentikan spekulasi kes bekas suami Indira Gandhi

Andaian bukan-bukan boleh jejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara, menurut ketua polis negara.

fuzi-harun-riduan-indira-malaysia
HULU SELANGOR: Orang ramai diminta berhenti membuat spekulasi berhubung kes Muhammad Riduan Abdullah yang dilaporkan gagal menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isteri M Indira Gandhi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata semua elemen dalam pasukan polis sudah dikerah untuk mengesan Muhammad Riduan.

“Perkara ini sensitif, andaian bukan-bukan boleh jejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat ke-12 bersempena Tahun Baharu Cina 2018 dan Unit Siasatan Lebuh raya (USLR) Zon Tengah di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ulu Bernam hari ini.

Mohamad Fuzi sebelum ini dalam satu kenyataan berkata usaha mengesan Muhammad Riduan yang sebelum ini dikenali sebagai K Pathmanathan, masih diteruskan sejak 2014 berdasarkan waran pengkomitan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan kenyataan Indira Gandhi, polis tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak mencari dan menahan bekas suaminya yang didakwa gagal menyerahkan anak perempuan mereka kepadanya.

Pada 29 Januari lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan pasangan memeluk Islam dan pasangannya yang bukan Islam mesti memberi persetujuan bagi penukaran agama anak bawah umur kepada Islam.

Ketiga-tiga anak mereka iaitu 2 perempuan dan seorang lelaki kini berusia 20, 19, dan 9 tahun. Muhammad Riduan, 47, menukar agama anak-anak mereka kepada Islam pada April 2009 tanpa persetujuan Indira Gandhi.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Ketua Polis Negara menangkap Muhammad Riduan kerana ingkar perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya Prasana Diksa kepada bekas isterinya.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberi Indira Gandhi hak penjagaan sepenuhnya terhadap ketiga-tiga anaknya dan memerintahkan Muhammad Riduan menyerahkan Prasana Diksa kepada ibunya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata pihaknya sedang berkerjasama dengan semua agensi berkaitan dalam usaha mengekang kegiatan memuat naik dan memuat turun gambar dan visual pornografi kanak-kanak di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.