
Wakil rakyat Parti Sosialis Malaysia (PSM) itu berkata, program seperti itu hanya berguna untuk rakyat berpendapatan sederhana dan tinggi yang mempunyai wang lebih untuk melabur.
Katanya, rakyat berpendapatan rendah boleh menggunakan bantuan dalam bentuk lain.
“Jika kerajaan benar-benar mahu membantu kaum India, mereka patut membantu dari segi perumahan,” katanya kepada FMT.
Minggu lalu, Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S Vell Paari mengkritik Jeyakumar kerana “tertinggal” maklumat penting dalam pengumuman Bajet 2018 oleh Datuk Seri Najib Razak pada 27 Oktober lalu mengenai nilai AS1M.
Pada 30 Januari lalu, perdana menteri berkata, Permodalan Nasional Berhad (PNB) membuka tambahan 1.5 bilion unit AS1M kepada kaum India, dengan setiap pelabur dibenarkan melanggan sehingga 30,000 unit.
Beliau berkata, kerajaan turut memperuntukkan pembiayaan khas RM500 juta bagi tempoh 5 tahun dalam bentuk skim pinjaman tanpa faedah bagi membantu 100,000 keluarga India daripada kategori B40 (isi rumah berpendapatan 40% terendah) untuk melabur dalam skim itu.
Jeyakumar mendakwa Vell Paari tidak melihat gambaran keseluruhan dan ada bukti AS1M tidak mampu membantu menyelesaikan masalah kemiskina di kalangan golongan miskin tegar dan ia lebih kepada janji pilihan raya.
“Semua orang tahu kerjaaan sudah mencuba skim seperti ini dengan orang Melayu dan masih ada orang Melayu miskin. Jadi, kenapa memperkenalkan langkah yang terbukti tidak berkesan?”
Katanya, sebuah buku bertajuk “Colour of Inequality” oleh Muhammed Abdul Khalid, bekas pengarah penyelidikan di Institut Penyelidikan Khazanah, memberi statistik kepada skim sama yang menyebabkan ketaksamaan antara kelas sosioekonomi berlainan.
Jeyakumar berkata, buku itu membincangkan satu kajian mengenai Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang mempunyai 6.5 juta pelabur Melayu. Penyelidik mendapati 72% pemegang saham di bahagian bawah hanya mempunyai purata RM554 setiap seorang dalam skim itu.
Sebanyak 28% pemegang saham di bahagian atas mempunyai purata RM53,582 manakala 0.2% di bahagian sama mempunyai purata RM725,522.
“Ini bukti empirikal sangat jelas terhadap apa yang berlaku apabila anda cuba menggunakan saham untuk meningkatkan status orang miskin.
“Jika ASB mempunyai kesan ini, bagaimana anda mewajarkan AS1M?”
Jeyakumar mengalahkan bapa Vell Paari, Tun S Samy Vellu yang ketika itu merupakan presiden MIC daripada kerusi Parlimen Sungai Siput pada pilihan raya umum 2008.
Jeyakumar berkata, kerajaan perlu mengutamakan penyelesaian masalah perumahan rakyat kerana ada penduduk di Sungai Siput yang tinggal di atas tanah kerajaan selama 60 hingga 70 tahun, tetapi mereka diklasifikasikan sebagai setinggan.
“Bayangkan jika anda memberi mereka geran untuk tanah yang mereka diami itu. Mereka boleh terus tinggal di rumah sedia ada dan menggunakan wang yang ada untuk menaik taraf rumah mereka secara perlahan-lahan.
“Ini bukan sahaja untuk orang India, tetapi semua rakyat Malaysia yang hidup sebagai setinggan. Ia akan menjadi rangsangan besar kepada 20% populasi paling bawah.”