
Timbalan perdana menteri berkata ahli Parlimen PKR itu mahu mencuba nasib di kawasan lain kerana Gombak menghadapi banyak masalah dan berdepan dengan rungutan penduduk.
“Mungkin orang itu merasakan kawasan sedia ada untuk beliau pertahan akan alami kekalahan sebab itu cuba nasib di kawasan lain. Saya harap sebelum berniat untuk berpindah kawasan, sila lakukan pembaikan perkhidmatan terutama dari segi kemudahan asas kepada pengundi yang diwakili.
“Saya tahu dia main-main sahaja. Dalam politik ini bukan boleh main-main,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Internet 1Malaysia Kampung Teluk Buluh, Kampung Selekoh dan Pekan Bagan Datuk hari ini.
Bagaimanapun, Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk berkata beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengalu-alukan mana-mana individu yang berniat untuk bertanding sama ada di Bagan Datuk atau di Pekan, Pahang.
Semalam, akhbar tempatan melaporkan Menteri Besar Selangor itu menyatakan beliau sedang mempertimbangkan cadangan untuk bertanding di Parlimen Bagan Datuk.
Bagaimanapun, Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata beliau masih menunggu dan perkara itu bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan.
Pada PRU13, Zahid memenangi kerusi Parlimen Bagan Datuk dengan majoriti 2,108 undi.