
Timbalan Presiden Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata kos pemasangan pemisah laluan sebelum ini sahaja sudah menelan jutaan ringgit, oleh itu DBKL pertama sekali sepatutnya mengkaji semua aspek dan langkah keselamatan terlebih dahulu sebelum memulakan projek itu.
“Kita boleh mendapatkan nasihat daripada pakar-pakar keselamatan jalan raya seperti Majlis Keselamatan Jalan Raya, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros). Kalau sudah dapatkan nasihat tidak apa sebab itu diluar jangkaan, tetapi kalau pasang sebelum mendapat khidmat nasihat daripada pakar keselamatan itu langkah tidak wajar,” kata kepada FMT.
Beliau menyarankan pihak berkuasa tempatan menjalankan percubaan terlebih dahulu bagi menilai kesan kepada keselamatan pengguna.
“Dari segi aspek mendengar aduan pengguna, itu memang baik tetapi kita telah bazir duit dengan pemasangan yang pertama.”
Isnin lalu, DBKL memaklumkan akan memasang pemisah laluan basikal baharu mulai hari ini bagi menggantikan alat lama yang didakwa membahayakan penunggang motosikal.
Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah berkata, pemisah baharu adalah lebih fleksibel, selamat dan mudah dilihat pengguna jalan raya, dan pemasangannya tidak menelan belanja besar.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan kos keseluruhan untuk memasang pemisah baharu itu dan pemisah lama yang ditanggalkan itu akan digunakan sebagai “stopper” di tempat letak kenderaan.
Sebelum ini, DBKL membuka semula pemisah laluan basikal sepanjang 11.9km itu berikutan alat tersebut didakwa mengundang bahaya kepada penunggang motosikal.
Mahadi mendakwa pemasangan “rubber separator” yang dibuat sebelum ini mengikut piawaian antarabangsa seperti diguna pakai di negara-negara lain.
DBKL pasang pemisah laluan basikal lebih selamat bulan depan