
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong dalam kenyataannya hari ini berkata sokongan terbuka wakil kerajaan Perancis terhadap industri sawit mampan sangat penting.
“Ia mampu memperbetulkan persepsi negatif dalam kalangan menteri dari 28 buah negara EU yang akan menghadiri mesyuarat rundingan tersebut,” katanya.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan 751 anggota Parlimen EU, Perancis diwakili ahli parlimen ke-2 terbanyak selepas Jerman, iaitu seramai 74 berbanding 96 ahli parlimen Jerman.
“Malaysia berharap wakil Perancis dapat memberikan pertimbangan serta sokongan sewajarnya dalam menyokong usaha Malaysia membela dan menegakkan keadilan sosial bagi lebih 650,000 pekebun kecil,” katanya.
Menurut Mah, Malaysia mengeksport barangan berjumlah RM5.3 billion ke Perancis dalam pelbagai sektor, terutama barangan elektrik dan elektronik serta barangan berasaskan getah, antara Januari hingga November 2017.
Pada Isnin, Mah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parly di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur. Pertemuan tersebut turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Dalam pertemuan itu, Parly menyatakan pendirian, Perancis tidak menyokong polisi bersifat diskriminasi, dan kerajaan Perancis menghargai hubungan baik 2 hala yang sedang dinikmati antara Malaysia dan Perancis.
Resolusi yang diumumkan oleh parlimen Eropah sebelum ini menyeru EU untuk tidak lagi menggunakan minyak sayuran dalam biodiesel menjelang 2020 atas dakwaan ia dihasilkan melalui pemusnahan hutan. Resolusi itu membabitkan minyak sawit.