
Fuzi memberi jaminan itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan penukaran agama sebelah pihak 3 anak bekas pasangan itu.
“Kami akan mematuhi keputusan mahkamah dan melakukan apa yang perlu,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, polis akan mengeluarkan kenyataan lanjut tidak lama lagi untuk memaklumkan keluarga dan orang awam berhubung perkara itu.
Keputusan bersejarah hari ini mengakhiri pertikaian hak penjagaan anak antara 2 agama berbeza selama 9 tahun, selepas bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah menukar agama 3 anaknya tanpa pengetahuan ibu mereka pada 2009.
Mahkamah turut memutuskan perkataan “parent” dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan bermaksud kedua ibu bapa, bukannya hanya salah seorang daripadanya.
Indira bagaimanapun mengeluh bekas suaminya belum mengembalikan anak perempuan bongsunya, Prasana Diksa walaupun mahkamah sudah mengeluarkan arahan.
“Yang sedihnya ialah anak perempuan saya masih tidak bersama saya. Saya tidak dapat berjumpa dengannya. Saya rindu untuk memeluknya, sudah 9 tahun….bila dia akan kembali ke pangkuan saya? Walaupun kami menang kes, dia masih tidak bersama kami.
“Sebagai seorang ibu, saya masih mempunyai banyak perkara untuk berkongsi dengan anak bongsu saya, terutama pada saat ini selepas berjuang untuk mendapatkan kembali anak-anak saya,” katanya merujuk Prasana yang masih hilang selepas diculik Riduan pada 2009, ketika berusia setahun.
Anak sulung Indira, Tevi Darsiny kini berusia 21 tahun dan anak lelakinya, Karan Dinish pula berusia 20 tahun.
Pada 2016, Indira mendapat perintah mandamus yang mengarahkan bekas ketua polis negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menahan Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi menyerahkan Prasana kepada ibunya.
Khalid bagaimanapun dilaporkan berkata, polis tidak mampu melaksanakan arahan itu kerana percanggahan bidang kuasa mahkamah sivil dan Mahkamah Syariah yang mengeluarkan perintah memihak kepada Riduan dalam isu hak penjagaan anak.
Ketua polis tiada alasan lagi, kata Indira merayu mahu mendakap anak
Kes tukar agama sebelah pihak: Mahkamah sivil ada kuasa, kata hakim