
Wong Chin Huat dari Institut Pulau Pinang berkata senario itu boleh berlaku, terutamanya dengan pertandingan pelbagai penjuru yang dijangka berlaku di kebanyakan kawasan daripada 222 kerusi Parlimen, berbanding 2 pilihan raya umum lepas.
“Ada kemungkinan besar ini berlaku. Undi Melayu akan terpecah antara Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan PAS,” katanya hari ini di forum bertajuk “Di Mana Hak Pengundi” anjuran Institut Darul Ehsan, sebuah badan pemikir kerajaan Selangor.
Wong menambah walaupun persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya tidak menjamin kemenangan untuk BN, peratus keluar mengundi yang rendah bererti ramai memilih untuk tidak mengundi untuk perubahan walaupun marah terhadap kerajaan.
Menurut Wong, jika BN menang PRU14 dengan majoriti 2/3, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin meminda Perlembagaan untuk menambah kerusi di seluruh negara, dan ini kemudiannya akan mencetuskan persempadanan semula baharu seawal “penghujung 2018”.
“Ini mungkin mewujudkan kerusi yang lebih selamat untuk BN,” katanya.
‘Persempadanan semula tidak berperlembagaan’
Sementara itu, Wong juga mendakwa cadangan persempadanan semula oleh SPR itu tidak berperlembagaan kerana ia akan menghasilkan bilangan pengundi tidak seimbang di beberapa kawasan.
“Sebarang cadangan persempadanan semula sepatutnya untuk membetulkan bilangan pengundi yang tidak seimbang,” katanya.
Wong memberikan perbezaan bilangan pengundi antara 2 kawasan Parlimen di Selangor iaitu di Kapar yang mempunyai 146,317 pengundi dan Sabak Bernam yang mempunyai 37,126 pengundi sebagai contoh.
“Siapa pakar matematik mereka? Mereka di tadika pun tahu perbezaan itu,” katanya kepada peserta forum hari ini.
Sementara itu, seorang Adun PKR merayu rakyat untuk keluar mengundi, dan memberi amaran akan kesan kemenangan BN.
“Kalau kita tewas pilihan umum ini, keadaan mungkin bertambah buruk,” kata Adun Seri Andalas Xavier Jayakumar, dan menambah Malaysia perlukan orang Melayu untuk melakukan perubahan itu.
“Perubahan tidak mungkin berlaku di negara ini tanpa orang Melayu mahukan perubahan.”