
Presidennya, Kamarozaman Abd Razak berkata, ibu bapa atau keluarga kanak-kanak tanpa kerakyatan perlu membuat permohonan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Kementerian Pendidikan terlebih dahulu, bukannya terus ke sekolah untuk mendaftar.
“Semua garis panduan, prosedur operasi standard (SOP) kementerian berhubung pelajar bukan warganegara ini sudah jelas.
“Mereka sepatutnya membuat permohonan kepada pihak JPN atau kementerian dan peraturan kelulusan itu bergantung kepada JPN atau kementerian, bukannya terus bawa anak ke sekolah sebab sekolah tidak boleh buat apa.
“Kalau kementerian dengan JPN tidak lulus, pihak sekolah tidak boleh buat apa. Kes sebegini merupakan kes terpencil jarang sangat berlaku, pihak ibu bapa itu sendiri terlepas pandang, sepatutnya rujuk JPN terlebih dahulu,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas laporan seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun di Seremban dan 7 pelajar di Pulau Pinang yang dihalang bersekolah kerana tidak memiliki pasport dan bukan warganegara Malaysia.
Sabtu lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan berkata, kanak-kanak tanpa kewarganegaraan boleh menghadiri sesi persekolahan walaupun permohonon kerakyatan mereka masih dalam proses.
Kamarozaman berkata, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan penting untuk menerangkan kepada ibu bapa khususnya yang mempunyai anak bukan warganegara tentang prosedur yang perlu dipatuhi bagi membolehkan anak mereka bersekolah.
“Kita cadang penerangan mesti diperjelas PIBG sebab ibu bapa kadangkala mereka tidak faham, khususnya melibatkan kes macam ini, mereka perlu diberi penerangan supaya rujuk JPN atau kementerian dulu.
“Mungkin taklimat itu juga boleh diberi ketika pelajar baru masuk, mungkin melalui mesyuarat PIBG dan jemput pegawai dari JPN datang beri taklimat.”
Langkah imigresen halang anak tanpa kerakyatan ke sekolah terus dikecam