
Gabungan NGO itu khuatir pencalonan mereka untuk pilihan raya umum ke-14 akan menjadi “perlumbaan” yang akan membawa implikasi buruk kepada aktivisme politik yang muncul dan telah mencapai kemajuan besar sejak 2008.
“Kami mendesak Barisan Nasional dan Pakatan Harapan untuk menyingkirkan Najib dan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri kerana mereka bertanggungjawab terhadap kerugian dana awam, penyalahgunaan kuasa dan pencabulan hak asasi manusia yang berlaku sepanjang waktu pentadbiran mereka masing-masing,” kata gabungan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Mengenai Najib, gabungan itu berkata pentadbiran kini muflis moral, kerana dalam sebuah negara demokrasi normal, seseorang pemimpin yang dituduh dalam skandal kewangan seperti 1MDB perlu meletakkan jawatan.
“Tetapi ini tidak berlaku di Malaysia. Maka, BN akan bertanding dengan Najib sebagai satu beban besar kerana sudah pasti beliau bukan seorang pemimpin yang kita boleh menaruhkan harapan negara.”
PH pula berisiko kehilangan “ketinggian moral” untuk memperjuangkan nilai universal seperti keadilan sosial, hak asasi dan kebertanggungjawaban, kerana memberi tanggapan bahawa mereka menerima budaya “bebas daripada hukuman” dan meletakkan kehendak partisan lebih tinggi daripada prinsip.
“Sementara mengkritik salahlaku BN, PH menutup satu mata terhadap rekod dahsyat bekas perdana menteri tersebut dalam nilai demokrasi…penyesuaian politik ini sudah tentu bukan satu perkembangan positif kepada orang Malaysia yang mengharapkan perubahan.”
Gabungan itu seterusnya menyenaraikan peristiwa salah laku semasa pentadbiran Najib dan Dr Mahathir, termasuk Operasi Lalang 1987, pemecatan ketua hakim negara 1988, Projek IC dan tindakan terhadap Bersih 2.0.
Secara tradisinya, BN akan memilih presiden Umno sebagai perdana menteri memandangkan kedudukan parti itu sebagai parti yang kanan dan tunjang kepada gabungan tersebut.
Pakatan Harapan diuar-uarkan akan mengangkat Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, sementara menunggu Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan daripada penjara dan layak untuk mengambil alih jawatan itu.